BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pindaan Akta 505, Akta 585 Kukuhkan Pengurusan Mahkamah Syariah Di Wilayah Persekutuan 

04/12/2024 08:27 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 yang dibentang untuk bacaan kedua esok akan memperkukuh aspek pengurusan dan pentadbiran Mahkamah Syariah di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang dalam kenyataan hari ini memaklumkan pindaan yang dicadang dalam RUU itu juga memberikan kebaikan, manfaat dan memudahkan urusan masyarakat Islam di Mahkamah Syariah khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Sebagai sebuah entiti utama yang menaungi Peguam Syarie di negara ini dan sebagai perantara antara Peguam Syarie dengan masyarakat, PGSM amat menyokong kedua-dua RUU dan berharap ia dapat disokong serta diterima oleh kesemua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.

Beliau berkata antara cadangan pindaan ialah pengenalan Seksyen baharu 40A yang membolehkan Hakim atau Pendaftar Mahkamah Syariah menjalankan suatu prosiding bagi kes mal melalui teknologi komunikasi jarak jauh.

“Seksyen baharu 57b yang dicadangkan dalam RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam akan memberi kuasa kepada Ketua Hakim Syarie untuk mengeluarkan apa-apa arahan amalan sebagaimana yang perlu bagi maksud melaksanakan peruntukan Akta 505 atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang berhubungan dengan Tatacara Mal Mahkamah Syariah,” katanya.

Musa berkata cadangan meminda Seksyen 3 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Akta 585) membolehkan takrif baharu 'teknologi komunikasi jarak jauh' dimasukkan dan dilaksana manakala pindaan bagi Seksyen 100 pula membabitkan penerimaan keterangan melalui teknologi komunikasi jarak jauh, sesuai dengan perkembangan teknologi semasa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan