BELANJAWAN 2025 > BERITA

SEJUTA AHLI KWSP BUAT CARUMAN SUKARELA CECAH RM11.16 BLN SETAKAT OKTOBER 2024 - AMIR HAMZAH

10/12/2024 02:57 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Seramai satu juta ahli aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah membuat caruman sukarela berjumlah RM11.16 bilion setakat Oktober 2024. 

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata dalam tempoh yang sama seramai 288,000 ahli aktif formal KWSP juga telah mencarum melebihi kadar berkanun iaitu 11 peratus.

“Selain itu, melalui penstrukturan semula akaun KWSP, caruman Akaun Persaraan (Akaun 1) yang bertujuan sebagai simpanan persaraan telah ditingkatkan sebanyak 75 peratus berbanding 70 peratus sebelum ini.

“Ini juga dilihat mampu mempercepatkan ahli mencapai Simpanan Asas,” katanya ketika sesi soal jawab persidangan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew berkenaan strategi kerajaan dalam memastikan seseorang individu mempunyai jumlah simpanan KWSP yang mencukupi untuk menikmati kehidupan yang selesa selepas bersara. 

Menurut Amir Hamzah, setakat 31 Oktober 2024, seramai 2.65 juta atau 36.2 peratus daripada 7.33 juta ahli aktif formal berumur 18 hingga 55 tahun telah mencapai simpanan asas mengikut umur berbanding 2.21 juta (30.4 peratus) daripada 7.25 juta ahli aktif formal pada Disember 2022.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan juga mengambil maklum cadangan Lau agar umur persaraan dilanjutkan kepada 65 tahun.

Katanya, perkara tersebut adalah merupakan dasar kerajaan yang memerlukan penelitian yang rapi dan teliti oleh semua pihak sebelum sebarang keputusan dibuat diperingkat dasar kerajaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan