KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Great Eastern Takaful Berhad (GETB), syarikat pengendali takaful keluarga yang juga peneraju dalam industri, terus komited menyediakan perlindungan kesihatan dan kewangan menyeluruh kepada rakyat Malaysia seiring dengan usahanya mempromosikan kelestarian demi manfaat bersama.
Menyambut ulang tahun ke-14 pada 10 Dis lepas, GETB menegaskan matlamat syarikat adalah untuk membolehkan masyarakat saling membantu mereka yang memerlukan.
Diiktiraf sebagai Penyedia Penyelesaian Takaful Terbaik 2024 oleh Global Islamic Finance Awards (GIFA), GETB memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang perlindungan di Malaysia, dengan tahun ini kadar penembusan industri takaful mencatatkan peningkatan 20 peratus seiring kesedaran masyarakat terhadap keperluan perlindungan takaful.
Ketua Pegawai Eksekutif GETB Shahrul Azlan Shahriman berkata syarikat itu sentiasa memastikan keterangkuman dalam perkhidmatan dan produknya bagi memenuhi keperluan lebih sejuta pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
"Akses kepada perlindungan kini semakin mudah kerana boleh dilakukan secara dalam talian. Kami terus memperkukuhkan usaha digitalisasi untuk memberi kemudahan kepada pelanggan dan memudahkan lebih 10,000 perunding takaful kami berurusan dengan lebih efisien," katanya dalam kenyataan.
Shahrul Azlan berkata, GETB turut memberi tumpuan kepada segmen masyarakat berpendapatan rendah (B40) dengan menyediakan perlindungan mampu milik melalui pelan mikrotakaful seperti MikroSayang di bawah inisiatif Perlindungan Tenang.
"Selain itu, GETB juga menjadi badan pengurus untuk skim perlindungan kesihatan percuma kerajaan, mySalam dengan aktiviti promosi skim ini dijalankan secara giat.
"Bermula 1 Jan 2025, perlindungan kesihatan mySalam akan diperluaskan dengan penambahan lima penyakit kritikal baharu seperti penyakit kulit kronik, penyakit mental, reumatologi, major talasemia, serta penyakit jarang jumpa," katanya.
Sehingga kini, skim mySalam telah mencatat hampir dua juta tuntutan dan memberi manfaat kepada lebih 1.35 juta rakyat Malaysia dengan nilai tuntutan melebihi RM1.08 bilion.
Beliau berkata inisiatif keterangkuman ini seiring dengan strategi Perantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT) dan pelan operasi perniagaan mampan syarikat itu.
Dalam usaha kelestarian, GETB giat menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti GREAT KITARecycle Challenge 2024, yang melibatkan 60 sekolah dan berjaya mengumpulkan lebih 107 tan barangan kitar semula dalam tempoh empat bulan.
"Program hasil semula turut diteruskan dengan siri taklimat dan demonstrasi melibatkan lebih 12,500 peserta, termasuk pelajar dan guru menggunakan mesin hasil semula dua dalam satu untuk mendapatkan barangan baharu daripada plastik terpakai," katanya.
Sempena ulang tahun ke-14, GETB turut menerima beberapa pengiktirafan berprestij antaranya Anugerah Inisiatif - Malaysia untuk Program Hasil Semula oleh ESGBusiness Awards 2024, Anugerah Majikan Terbaik oleh Kincentric, serta beberapa kemenangan di Anugerah Kecemerlangan Sumber Manusia 2024.
Shahrul Azlan menegaskan, GETB akan terus memperkukuhkan kedudukan dalam industri dengan mengutamakan kelestarian dalam setiap aspek operasi perniagaannya.
"Kami kekal komited menjadi pilihan utama rakyat Malaysia untuk perlindungan takaful," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial