PELABUHAN KLANG, 12 Dis (Bernama) -- Industri getah negara merekodkan pencapaian membanggakan menerusi pelaksanaan inisiatif Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) yang bertujuan memastikan komoditi berkenaan kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata ia dibuktikan menerusi pematuhan standard lebih awal berdasarkan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) yang menyaksikan dua syarikat getah tempatan mengeksport 200 tan Standard Malaysian Rubber (SMR) mematuhi MSNR ke negara yang mengganggotai kesatuan tersebut.
"Pada bulan lepas, Parlimen EU telah meluluskan usul untuk menunda tarikh penguatkuasaan EUDR daripada 30 Disember 2024 kepada 30 Disember 2025 untuk syarikat besar dan 30 Jun 2026 untuk perusahaan kecil dan sederhana." katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran eksport pertama getah Malaysia mematuhi MSNR ke Kesatuan Eropah (EU), di sini, hari ini.
Johari berkata walaupun peraturan EUDR masih belum dikuatkuasakan, Malaysia telah menunjukkan komitmen jitu mematuhi aspek kemampanan antarabangsa melalui MSNR.
"Ini membuktikan ketersediaan sektor agrikomoditi dalam memastikan rantaian bekalan industri mematuhi amalan kemampanan dunia," katanya.
Beliau berkata antara tujuan MSNR dibangunkan adalah untuk melindungi kepentingan industri getah negara termasuk mengekalkan kuasa pasaran Malaysia di EU iaitu sebanyak 15 peratus atau RM3.87 bilion daripada jumlah eksport getah asli negara.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan Dan Komoditi Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) Datuk Zurinah Pawanteh dan Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM) Datuk Dr Zairossani Mohd Nor.
Pada 7 Oktober lalu, LGM melancarkan inisiatif MSNR bagi memastikan industri getah negara dapat memenuhi keperluan antarabangsa selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2030.
Inisiatif berkenaan memfokuskan lima prinsip utama iaitu tiada penebangan hutan untuk penanaman getah, penanaman getah berpandukan Kanun Tanah Negara, kemampanan alam sekitar, pematuhan sosial atau hak asasi pekerja dan kebolehjejakan rantaian bekalan.
MSNR merupakan pengiktirafan secara kawal selia dan penguatkuasaan yang diberikan kepada pemegang lesen dan permit LGM bagi memastikan getah dihasilkan dapat memasuki pasaran dunia sebagai produk mampan serta berdaya saing.
Johari berkata, kementeriannya juga menyasar untuk memastikan import berkurangan kepada RM3 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang berbanding RM6 bilion ketika ini sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap sumber luar.
Beliau berkata, industri getah negara ketika kini mampu mengeluarkan hanya kira-kira 350,000 metrik tan setahun.
"Justeru, kita masih terpaksa mengimport getah terutama bagi industri pakaian sehingga mencecah RM6 bilion setahun.
"Jika dapat mengekalkan produk getah dengan mendominasi pasaran antarabangsa, kita sasar menurunkan pengimportan kepada RM5 bilion dan mungkin hanya setengah iaitu RM3 bilion," katanya.
Sementara itu, Zairossani berkata LGM turut mengadakan sesi taklimat dihadiri kira-kira 100 wakil industri getah bagi menerangkan keperluan pelaksanaan MSNR serta peranan lembaga itu dalam membantu industri getah mencapai objektifnya.
"LGM sentiasa peka akan isu-isu yang dihadapi oleh industri getah. Pada masa ini, antara isu utama yang dihadapi dalam industri getah di peringkat antarabangsa adalah kekurangan elemen kebolehkesanan bahan mentah.
"Bagaimanapun, LGM telah mempunyai sistem kebolehkesanan yang komprehensif yang bakal melonjakkan Malaysia sebagai peneraju dalam penghasilan getah asli dan produk getah mampan dunia," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial