BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sweden Puji Inisiatif Pendidikan SDG Malaysia, Tawar Perkongsian Hijau

12/12/2024 05:58 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Duta Besar Sweden ke Malaysia, Niklas Wiberg memuji pendekatan proaktif Malaysia dalam menerapkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke dalam sistem pendidikannya, yang disifatkan sebagai usaha penting dalam menangani cabaran global dan memacu pembangunan mampan. 

Beliau mengiktiraf usaha Malaysia dalam meningkatkan kesedaran mengenai SDG dalam kalangan pelajar sambil menyatakan bahawa pendidikan adalah asas utama untuk mengatasi isu seperti perubahan iklim, eksploitasi sumber dan ketidaksamaan global. 

“Pendidikan merupakan keutamaan utama kerana bagaimana kita dapat membuat kemajuan dalam SDG tanpa menyedari kewujudannya? 

“Melalui perbincangan mengenai cabaran yang dihadapi Malaysia dalam melaksanakan SDG, sekolah bukan sahaja mendidik pelajar tetapi juga mewujudkan rasa tanggungjawab bersama,” katanya. 

Niklas berkongsi pandangannya kepada Bernama di luar acara Teater Muzikal anjuran Sekolah Sri Aria baru-baru ini.

Acara bertemakan “Our World, Our Responsibility” itu mengetengahkan persembahan bertemakan “Kindness & Respect,” “Charity & Philanthropy,” “Modesty & Humility” dan *“Gratefulness.” 

Beliau turut menyatakan bahawa integrasi SDG dalam kurikulum Malaysia bukan sahaja menangani cabaran di peringkat nasional tetapi juga menyumbang kepada agenda global yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

“Ia adalah tanggungjawab bersama kita, terutamanya komuniti setempat untuk memimpin usaha ini,” katanya.

Mengenai peralihan hijau, Niklas berkata Sweden sedang bekerjasama rapat dengan Malaysia untuk mempercepatkan penggunaan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui dan memajukan sasaran SDG. 

Beliau menegaskan bahawa peralihan hijau sebagai keutamaan utama untuk kerjasama Sweden-Malaysia, dengan tumpuan kepada teknologi inovatif dan kerjasama dua hala.

“Keutamaan bagi Kedutaan Sweden bersama Business Sweden adalah memberi tumpuan kepada peralihan hijau. 

“Ini adalah topik utama untuk Eropah kerana kami perlu memenuhi janji mengurangkan pelepasan karbon dan memastikan sumber dunia terjamin.” 

Meskipun rancangan nasional Malaysia menangani keutamaan peralihan hijau, kepakaran Sweden dalam tenaga hijau serta hubungan eratnya dengan Malaysia menjadikannya rakan kerjasama yang bernilai, katanya.

“Banyak syarikat Sweden bertapak di Malaysia sejak merdeka, dan kebanyakannya memberi tumpuan kepada peralihan dan tenaga hijau. 

“Kami mempunyai motivasi, pengetahuan dan teknologi untuk membantu Malaysia mencapai matlamat SDG, khususnya dalam sektor hijau,” katanya. 

Niklas juga memaklumkan bahawa Kedutaan Sweden terlibat secara aktif dalam projek “waste-to-energy” di Sarawak dan Semenanjung Malaysia serta menyokong syarikat yang menyasarkan pelepasan sifar bersih menjelang 2030, lebih awal daripada sasaran Malaysia pada 2050. 

Selain itu, Kedutaan Sweden turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia termasuk Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan kementerian berkaitan dalam projek tenaga boleh diperbaharui seperti panel suria, kilang biojisim dan tenaga angin di kawasan yang sesuai. 

“Usaha ini penting untuk memastikan masa depan yang mampan,” kata Niklas. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan