KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Pembukaan semula Kedutaan Besar Denmark di Malaysia menandakan satu peristiwa penting dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara, terutamanya ketika Malaysia bersiap sedia untuk menjadi pengerusi ASEAN pada 2025, kata Menteri Luar Denmark, Lars Løkke Rasmussen.
Bercakap kepada pemberita pada majlis resepsi yang dihoskan oleh Duta Denmark ke Malaysia, Kirstine Vangkilde Berner, Rasmussen menekankan kepentingan ASEAN yang semakin meningkat sebagai sebuah blok untuk Eropah serta peranan global yang terus dimainkan oleh Malaysia.
Menurut beliau, Malaysia adalah "pengeksport utama semikonduktor dan bahan mentah ke Eropah," dan oleh itu "Denmark memerlukan rakan kongsi yang dipercayai di seluruh dunia."
Beliau menyatakan hubungan erat yang telah lama terjalin antara Denmark dan Malaysia yang bermula sejak kemerdekaan Malaysia.
“Kami telah menikmati hubungan yang kukuh selama beberapa dekad. Malaysia adalah sebuah negara yang menarik untuk pelaburan dan mengeratkan hubungan," katanya.
Rasmussen turut menyatakan harapannya bahawa "Denmark boleh membuka semula rundingan perdagangan bebas dengan Malaysia, memandangkan terdapat potensi yang sangat besar."
Menteri itu menegaskan komitmen Denmark untuk meningkatkan kerjasama dengan ASEAN di bawah kepimpinan Malaysia tahun depan, memanfaatkan peranan Denmark sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan ahli aktif Kesatuan Eropah.
“Kami mahu memupuk lebih banyak kerjasama menang-menang dengan ASEAN,” katanya.
Rasmussen kini dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia yang bermula Selasa, lawatan pertamanya sejak memegang jawatan itu pada Disember 2022.
Kedutaan Denmark di Malaysia, yang ditutup pada 2021 semasa pandemik COVID-19, telah memulakan semula operasinya pada Ogos 2024.
Sementara itu, Duta Berner menggariskan hasrat Denmark untuk memperkenalkan teknologi canggih negara itu dalam inovasi hijau, pengurusan sisa, kecekapan tenaga dan amalan bangunan mampan di Malaysia.
Kementerian Luar Malaysia yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan bahawa antara Januari dan Oktober 2024, jumlah dagangan Malaysia dengan Denmark meningkat sebanyak 12.9 peratus kepada RM2.19 bilion (US$1=RM4.42) berbanding tempoh sama pada 2023.
Malaysia juga menempatkan lebih 100 syarikat dari Denmark, dengan nilai pelaburan melebihi RM2.2 bilion dalam bidang pembuatan sehingga Jun 2024 yang mewujudkan 5,024 peluang pekerjaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial