BELANJAWAN 2025 > BERITA

INDONESIA LAKSANAKAN OPERASI PENGUBAHAN CUACA UNTUK KURANGKAN HUJAN LEBAT DI JAWA BARAT

12/12/2024 08:48 PM

 

JAKARTA, 12 Dis (Bernama) -- Indonesia telah melancarkan operasi pembenihan awan untuk mengurangkan kesan hujan lebat dan risiko banjir di Sukabumi dan Cianjur, Jawa Barat, sebagai langkah tindak balas kecemasan terhadap bencana berkaitan hujan.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB) Abdul Muhari berkata tiga operasi telah dijalankan pada Rabu, dengan sejumlah tiga tan serbuk garam disebarkan di kawasan yang ditentukan di ruang udara wilayah itu.

"Setiap misi menyasarkan awan berpotensi hujan di kawasan barat daya hingga barat laut pada ketinggian 3,048 meter hingga 3,353 meter, menggunakan 1,000 kilogram serbuk NaCl," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata operasi itu memfokuskan kepada awan berpotensi hujan yang bergerak ke arah kawasan berisiko tinggi, dengan matlamat untuk mengagihkan semula hujan ke zon kurang kritikal dan mengurangkan risiko banjir di kawasan rentan.

Operasi ini, yang diselaraskan dari pos kawalan di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta Timur, akan dijalankan 24 jam sehari dengan penerbangan siang dan malam, menggunakan sejumlah 50 tan serbuk garam. 

BNPB bekerjasama dengan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), Tentera Udara Indonesia, serta Kerajaan Wilayah Jawa Barat, dengan misi dijalankan menggunakan pesawat Cessna Caravan.

Sementara itu, banjir dan tanah runtuh yang melanda Sukabumi pada 3 Disember lepas telah meragut 10 nyawa, dengan dua lagi mangsa masih hilang, menurut agensi berkenaan.

Bencana itu telah menjejaskan lebih 20,600 penduduk, dengan 3,464 orang dipindahkan di 184 kampung di 39 daerah kecil. Ia turut menyebabkan kerosakan serius terhadap infrastruktur tempatan, termasuk 1,605 rumah mengalami kerosakan ringan, 1,829 kerosakan sederhana, dan 2,058 rosak teruk.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan