BELANJAWAN 2025 > BERITA

JHEV LULUS RM6.19 JUTA BINA, BAIK PULIH RUMAH VETERAN ATM SETAKAT NOVEMBER

16/12/2024 05:46 PM

BATU PAHAT, 16 Dis (Bernama) -- Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah meluluskan RM6.19 juta setakat 30 Nov lepas bagi inisiatif baik pulih dan bina baharu perumahan veteran di seluruh negara.

Ketua Pengarah JHEV ATM Mej Jen Datuk Semaon Marjuki berkata inisiatif itu merangkumi 53 permohonan bina baharu dan 209 permohonan baik pulih rumah termasuk lima permohonan baharu dan lapan baik pulih di Johor.

Beliau berkata peruntukan berkenaan meningkat daripada RM4.86 juta pada 2021 kepada RM6.19 juta tahun ini, sekali gus menunjukkan JHEV ATM sentiasa komited dalam memastikan kebajikan berterusan jabatan itu.

"Inisiatif bantuan perumahan ini diwujudkan untuk membantu veteran ATM daripada golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai rumah atau menetap di rumah usang, namun memiliki tanah sendiri. 

"Kos keseluruhan sebuah rumah bina baharu sekitar RM75,000 hingga RM85,000 dengan subsidi RM20,000 daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), manakala bakinya ditanggung JHEV," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Rumah Bina Baharu Inisiatif Veteran ATM Negeri Johor di Kampung Parit Kadir, Senggarang di sini hari ini.

Sementara itu, balu kepada veteran ATM Allahyarham Saniman Shiri, iaitu Rokiah Salleh, 59, berkata dia gembira dan bersyukur apabila menerima inisiatif berkenaan setelah setahun membuat permohonan.

"Arwah suami sebelum ini bertugas sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama 13 tahun dan tempat terakhir adalah di Kuantan sebelum meninggal dunia pada 2020," katanya.

Seorang lagi penerima Ahmad Othman, 66, yang pernah berkhidmat dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut menzahirkan rasa syukur apabila rumahnya siap dan boleh diduduki.

"Sebelum ini saya terpaksa menyewa rumah, alhamdulillah kini kediaman saya sendiri di Felda Lenga, Muar akhirnya siap baru-baru ini atas inisiatif JHEV," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan