BELANJAWAN 2025 > BERITA

FIFA LUAHKAN "KEKESALAN" BERHUBUNG KONTROVERSI PETA CRIMEA SEMASA UNDIAN

16/12/2024 11:24 PM

BERLIN, 16 Dis (Bernama-dpa) -- Badan induk tadbir urus bola  sepak,   Persekutuan  Persatuan  Bola  Sepak  Antarabangsa (FIFA) meluahkan kekesalan selepas peta yang menunjukkan Crimea sebagai sebahagian daripada Rusia dipaparkan semasa undian kelayakan Piala Dunia 2026 pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Ukraine melahirkan kemarahan apabila Kementerian Luarnya menuntut permohonan maaf secara terbuka. Crimea dipisahkan secara haram dari Ukraine oleh Rusia pada 2014 dan masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf tindakan itu.

FIFA yang seharusnya memohon maaf secara terbuka, sebaliknya menghantar sepucuk surat kepada Persekutuan Bola Sepak Ukraine yang kemudian menerbitkan salinan itu di laman sesawangnya.

Dalam surat itu, FIFA menyalahkan "penyedia perkhidmatan luar pihak ketiga" dan menyatakan yang badan induk itu  sudah mengambil  "langkah segera" untuk menangani isu berkenaan sebaik sahaja ia dikesan. Penelitian dijalankan bagi mengelakkan perkara yang sama daripada berulang.

Surat itu menggunakan istilah "kecuaian" tetapi tidak menyebut kesilapan atau kesalahan. Elkhan Mammadov, Ketua Pegawai Persatuan Ahli FIFA menulis surat itu dan menyatakan "kami amat kesal atas sebarang kebimbangan yang mungkin timbul" tetapi tidak menyatakan permohonan maaf secara jelas.

Rusia melancarkan pencerobohan terhadap Ukraine selama hampir tiga tahun. Ukraine berulang kali menyuarakan hasratnya untuk membebaskan Crimea daripada pendudukan Rusia.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan