BELANJAWAN 2025 > BERITA

SANTUNI MADANI: BERNAMA ANJUR PROGRAM DEDAH DUNIA KEWARTAWANAN KEPADA PELAJAR

17/12/2024 08:27 PM

BANTING, 17 Dis (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melalui program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) akan menganjurkan aktiviti untuk memberi pendedahan tentang dunia kewartawanan kepada pelajar sekolah menengah pada tahun depan.

Ketua Jabatan Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain berkata ia adalah antara perancangan agensi berita itu yang dirangka bagi mengisi slot aktiviti program berkenaan.

“Kita akan turunkan petugas terutamanya (dari meja) penulisan kreatif dan multimedia supaya nanti dapatlah menanam minat dalam kalangan pelajar sekolah menengah untuk melihat serta merasai dunia dan tugas wartawan.

“Mungkin jika ada yang berminat, boleh meneruskan pengajian dalam bidang kewartawanan,” katanya kepada Bernama selepas berucap pada program Santuni MADANI yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Laut, Tanjung Sepat di sini hari ini. 

Sharifah Zaini, yang juga Timbalan Ketua Program II Santuni MADANI, Bernama akan turun padang ke sekolah rendah bagi membantu meningkatkan literasi dan pembelajaran murid pada 2025.

Beliau turut berkongsi pesanan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin yang meminta pihak agensi berita nasional itu memfokus kepada aspek pendidikan sebagai pengisian program Santuni MADANI.

“Nur-ul Afida sekali lagi memberi saranan supaya Bernama melihat kepada fokus utama program Santuni MADANI iaitu aspek pendidikan dan seperti yang saya katakan tadi, kebanyakan aktiviti kita lebih berunsur kepada aspek pendidikan,” katanya.

Sharifah Zaini juga berkata dua aktiviti telah diadakan hari ini iaitu Bengkel Asas Canva yang dikendalikan oleh petugas Bernama serta Taklimat Ancaman Siber oleh wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). 

“Bengkel Asas Canva dan Taklimat Ancaman Siber adalah program penutup 2024. Kali ini kita bekerjasama dengan MCMC dan untuk aktiviti tahun depan, kita akan bekerjasama dengan agensi lain pula,” katanya.

Seramai 40 pelajar SMK Batu Laut menghadiri Bengkel Asas Canva manakala 60 lagi mendengar Taklimat Ancaman Siber.

Aktiviti itu merupakan susulan bagi Kalendar 2024 selepas perasmian Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin Satu Kampung Kementerian Komunikasi - Kampung Angkat Bernama @Batu Laut pada 12 Okt lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan