BELANJAWAN 2025 > BERITA

15 PPDK DI WILAYAH PERSEKUTUAN TERIMA PERUNTUKAN LEBIH RM700,000

17/12/2024 08:04 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) memperuntukkan dana sebanyak RM710,000 kepada 15 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Wilayah Persekutuan sejak Julai lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata dana itu, yang melibatkan 10 PPDK di Kuala Lumpur, tiga di Putrajaya dan dua di Labuan, adalah bagi memastikan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) mendapat sokongan sewajarnya untuk menjalani kehidupan lebih produktif.

"Dana ini boleh digunakan untuk pembaikan premis, pembelian peralatan asas dan keperluan terapi pelatih merangkumi penambahbaikan bilik snoezelen serta pembelian alat bantu mengajar seperti komputer, kipas dan penyaman udara.

"Selain itu, keperluan khusus lain seperti kerusi khas untuk pelatih palsi serebrum, alat permainan dan peralatan terapi," katanya pada majlis sumbangan Program Pembangunan Komuniti 2024 di PPDK Permata Brickfields di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Sosio Ekonomi) JWP Datuk Parang Abai @ Thomas.

Dr Zaliha berkata dalam usaha menyokong komuniti OKU, kerajaan memperuntukkan dana RM1.3 bilion dalam Belanjawan 2025 bagi memperkasa golongan itu melalui pelbagai inisiatif bersasar.

Terdapat lebih 500 PPDK di seluruh negara yang memberi manfaat kepada hampir 19,000 pelatih OKU dengan sokongan lebih 5,000 penyelaras dan petugas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan