PASIR MAS, 17 Dis (Bernama) -- Hampir 2,000 penduduk dari sembilan kampung terkesan apabila jambatan berdekatan Kampung Rong Chenok di sini yang menjadi laluan utama menghubungkan mereka ke pusat bandar runtuh akibat arus deras banjir pada penghujung November lepas.
Imam Muda Masjid Mukim Rong Chenok Muhammad Zahir Johari berkata jambatan sepanjang 350 meter yang dibina pada 1988 itu menjadi laluan utama penduduk untuk melakukan urusan di bandar Pasir Mas.
"Jambatan ini runtuh sepanjang hampir 100 meter semasa bencana banjir, dan ia memberi kesan kepada penduduk serta 120 pelajar sekolah menengah agama dan 200 pelajar tahfiz al-Quran yang ada di kampung ini.
"Sekarang ini penduduk kampung terpaksa menggunakan jalan alternatif untuk ke Pasir Mas iaitu sejauh hampir 30 kilometer melalui Jalan Kampung Bukit Panau ke lebuh raya Tanah Merah-Pasir Mas yang mengambil masa setengah jam berbanding 15 minit sebelum ini," katanya kepada Bernama hari ini.
Muhammad Zahir berkata walaupun jambatan itu berada di kawasan pendalaman, ia cukup penting kepada penduduk di kawasan berkenaan untuk melakukan urusan berkaitan pendidikan, ekonomi dan kesihatan.
"Ketika banjir, penduduk di kawasan ini terkepung kerana jalan alternatif di Kampung Kuang turut ditenggelami air. Jadi apabila jambatan ini runtuh kami terus terputus hubungan.
"Kami berharap kerajaan Persekutuan dan negeri mengambil berat dan segera menyelesaikan masalah ini kerana ketiadaan jambatan memberi kesan kepada penduduk untuk melakukan aktiviti harian," katanya.
Sementara itu, penduduk kampung Muhamad Fakruddin Yusuf, 45, berkata sebahagian daripada jambatan itu runtuh dan hanyut dibawa arus deras.
"Selain faktor arus banjir, jambatan ini runtuh juga disebabkan oleh rempuhan kerana rumput yang tersangkut di bahagian bawah jambatan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial