Laporan dua bahagian ini meneroka isu ekosistem marin di perairan negara yang berdepan kemerosotan akibat kegiatan manusia dan perubahan iklim, dengan artikel pertama berkongsi tentang Misi OceanX Malaysia 2024 yang dijalankan oleh OceanX bersama-sama dengan kerajaan negeri Pahang, New York University Abu Dhabi dan saintis Malaysia bagi menilai kesihatan ekosistem hidupan marin di perairan Pahang.
Kepelbagaian hidupan marin di perairan tropika Malaysia ibarat syurga bawah air, namun ekosistem itu terdedah kepada kemerosotan akibat kegiatan manusia dan perubahan iklim.
Malaysia merupakan sebahagian daripada Segitiga Terumbu Karang yang diiktiraf sebagai pusat keanekaragamam biologi marin global. Akan tetapi, peningkatan perdagangan melalui laut, perluasan pelabuhan dipacu pertumbuhan pantas sektor logistik dan pelancongan air, mengakibatkan habitat dan biodiversiti marin di situ terdedah kepada kemerosotan.
Namun begitu, usaha sedang diambil bagi menilai ekologi marin di perairan negara, antaranya misi selama 16 hari pada September dan Oktober lalu yang dijalankan oleh badan eksplorasi laut tidak berasaskan keuntungan global OceanX di perairan Pahang serta Tioman dan Laut China Selatan.
(OceanX, program dioperasikan oleh Dalio Philanthropies berpangkalan di Amerika Syarikat, menggunakan teknologi generasi hadapan bagi menyokong saintis meneroka lautan dan membina komuniti global yang benar-benar komited dalam memahami, menikmati dan melindungi lautan dunia).
Misi OceanX Malaysia 2024 dijalankan dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang, New York University Abu Dhabi dan 23 saintis daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, diketuai oleh Prof Madya Dr Maizah Mohd Abdullah daripada UMT.
Beroperasi di atas kapal OceanXplorer - antara kapal penerokaan, penyelidikan saintifik dan penerbitan media termaju di dunia - pasukan itu melaksanakan kajian oseanografi komprehensif di perairan Pahang serta survei terumbu karang di kawasan tersebut.
Usaha rintis ini bakal memainkan peranan penting dalam membantu penyelidik menjejaki perubahan jangka panjang yang berlaku ke atas terumbu karang dan ekosistem sekelilingnya. Pada Mac lepas, OceanX mengumumkan satu misi multitahun meneroka perairan Asia Tenggara bagi “memahami dengan lebih lanjut sebuah rantau lautan dengan biodiversiti antara terkaya di dunia dan paling terancam.
Bercakap semasa lawatan dan taklimat media di atas OceanXplorer pada Oktober ketika kapal itu berlabuh di Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini, Maizah berkata antara penemuan mereka pada misi itu ialah sekumpulan 120 ekor ikan lumba-lumba berserta anak-anak di perairan Pahang.
Menegaskan kepentingan pengetahuan saintifik dalam penggubalan dasar, beliau berkata: “Kita tidak boleh melindungi apa yang kita tidak tahu.”
Katanya, eksplorasi itu penting bagi memahami situasi hidupan laut di kawasan yang dikaji.
“Memang menarik kerana dengan cara itulah kita dapat belajar (lebih lanjut) tentang ekosistem, sama ada wujud hidupan baharu atau kelakuan baharu atau persekitaran bawah laut baharu di sana,” katanya.
TIGA FASA
Beliau berkata Misi OceanX Malaysia 2024 melibatkan tiga fasa dengan lapan misi dilaksanakan. Dalam fasa satu, mereka meneroka kawasan seluas 350 kilometer persegi di perairan Pahang, sementara fasa kedua menyaksikan saintis Malaysia melakukan pemetaan ke atas terumbu berhampiran pantai menggunakan sonar berbilang pancaran dan kenderaan pengendalian jarak jauh (ROV) selain beberapa selaman skuba, bagi meninjau komposisi habitat pelbagai kawasan terumbu karang.
Kawasan terumbu berhampiran pantai ini kaya dengan biodiversiti marin serta menjadi kawasan pembiakan yang penting bagi hidupan laut. Dalam fasa ketiga, penyelidik turun ke lapangan di mana berlaku perlunturan karang besar-besaran di Taman Laut Pulau Tioman, dengan tinjauan dijalankan secara selaman skuba bagi menilai status kesihatan batu karang.
pic-2
“(Daripada tinjauan itu) kami dapati terumbu karang di sesetengah kawasan lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim,” kata Maizah kepada pemberita.
Beliau juga berkata Misi OceanX Malaysia 2024 membawa kepada penubuhan 16 stesen bagi program pemantauan jangka panjang melibatkan penyelidikan lautan pada masa depan, termasuk kajian tentang pengasidan dan isoscapes (peta geologi taburan isotop) di Malaysia.
Menurut Maizah, saintis UMT akan menganalisis data yang dikutip dalam misi itu selain membuat laporan dan menerbitkan data tersebut bersama-sama dengan OceanX. Menurut beliau, data yang dikumpul akan membolehkan saintis memahami hidupan marin dengan lebih baik.
“Apabila kita memahami kenapa (hidupan marin tertentu) hidup di situ dan konteks persekitarannya, kita akan tahu masa depan sistem itu atau (adakah) haiwan akan berubah akibat impak manusia dan perubahan iklim,” tambahnya.
KECERDASAN BUATAN
Mengulas lanjut tentang Misi OceanX Malaysia 2024, Maizah berkata usaha rintis itu akan memainkan peranan penting dalam membantu penyelidik menjejaki perubahan jangka panjang ke atas terumbu serta ekosistem di sekelilingnya.
“(Pada fasa ketiga) kami ke 11 tapak di sekitar Pulau Tioman dan menggunakan program kecerdasan buatan (AI) ReefCloud bagi memantau (kesihatan dan biodiversiti) terumbu karang.
pic-3
“Menerusi program ini, penyelidik dapat menjejaki perubahan kawasan litupan karang, komposisi spesies serta tanda-tanda kemerosotan, seterusnya menyediakan data penting bagi intervensi pemuliharaan yang tepat pada masa serta strategi pengurusan yang boleh disesuaikan mengikut keadaan, terutama dalam mendepani perubahan iklim serta impak manusia,” kata beliau.
"Sebelum ini kita lakukan (analisis) ini secara manual dan sekarang kita berdepan dengan perubahan persekitaran yang berlaku pantas berikutan pemanasan global. Jadi, kami mahu menggunakan AI bagi mempercepat proses analitik.”
Jelas beliau, sebelum ini penyelidik terpaksa melakukan selaman, ambil gambar dan video sebelum kembali ke makmal untuk menganalisis spesies dan data.
Semasa fasa ketiga Misi OceanX Malaysia 2024, ROV digunakan untuk meneroka habitat mesofotik di kedalaman lebih 30 meter sekitar Pulau Tioman. Buat pertama kali, penyelidik Malaysia berjaya melakukan penilaian terperinci terhadap biodiversiti mesofotik di perairan Pahang dengan bantuan teknologi canggih yang tersedia di atas OceanXplorer.
Ekosistem terumbu mesofotik ditemukan di wilayah tropika dan subtropika di kedalaman hampir 100 hingga lebih 490 kaki di bawah permukaan laut.
TEKNOLOGI OCEANX
OceanXplorer dilengkapi teknologi canggih bagi menyelidik persekitaran marin termasuk habitat di laut dalam, perairan cetek serta pantai. Kapal ini mempunyai dua vesel submersible sepanjang 1,000 meter, sebuah ROV, tiga makmal kering dan satu makmal basah dengan kesemuanya dilengkapi kemudahan penyelidikan terkini serta keupayaan penjujukan DNA generasi hadapan.
Teknologi di atas kapal OceanXplorer membolehkan saintis melakukan analisis ke atas spesimen. Kapal itu juga mempunyai sistem paip khas yang menyalurkan air laut ke makmal sambil melepaskan spesimen tidak tercemar kembali ke laut.
pic-4
Pengarah Program Sains OceanX Mattie Rodrigue berkata amat penting untuk memahami biodiversiti hidupan marin, terutamanya kerana laut tidak begitu diberikan perhatian.
“Kita telah melakukan pemetaan topografi keseluruhan bulan yang terletak begitu jauh, namun berbanding bulan, hanya kira-kira 24.9 peratus daripada dasar laut kita telah dipetakan.
“Pemetaan lantai laut merupakan langkah pertama dalam penerokaan terperinci lautan dunia yang tidak kita ketahui,”katanya.
Penerokaan yang pernah dilaksanakan oleh OceanX antaranya Red Sea 2020, Red Sea Decade Expedition 2022, Jordan 2022, Norway 2023 dan Azores 2023. Rodrigue berkata Asia Tenggara dikenali sebagai antara kawasan biodiversiti marin terbesar dunia dengan sebahagian besarnya belum diketahui dan diteroka.
“Asia Tenggara juga ada beberapa negara kepulauan termasuk Indonesia, kepulauan terbesar di dunia. Malah, sembilan daripada 10 negara ASEAN mempunyai laut,” katanya.
Beliau berkata OceanX komited menyertai Asia Tenggara dalam mendepani perubahan iklim dengan meneroka perairan rantau itu serta membawa pulang data penting agar dapat difahami dengan lebih baik tentang cara melindungi dan memelihara lautan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama OceanX Mark Dalio pula berkata pertubuhan itu menganjurkan beberapa lawatan pendidikan di atas kapal OceanXplorer ketika berlabuh di Pelabuhan Klang, melibatkan lebih 200 pelajar dan pendidik.
Lawatan itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar menimba pengalaman dan ilmu tentang kemampuan OceanXplorer secara lebih dekat serta memahami potensi kerjaya berkaitan lautan.
“Kami terlibat dalam pembangunan kapasiti dengan memberikan pelajar peluang melihat situasi belakang tabir kemampuan terkini OceanXplorer, kehidupan di atas kapal penyelidikan serta kemampuan kejuruteraan dan media kami, dengan harapan dapat memberikan golongan muda inspirasi serta meningkatkan minat mereka dalam pemuliharaan marin,” tambah Dalio.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial