BELANJAWAN 2025 > BERITA

Fandi Kesal Mutu Pengadilan

18/12/2024 12:04 PM

ISKANDAR PUTERI, 18 Dis (Bernama) -- Pengendali Sri Pahang FC Fandi Ahmad kesal dengan mutu pengadilan yang disifatkannya sebagai berat sebelah ketika pasukannya berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.

Beliau berkata pada pertembungan itu tiga kad kuning dilayangkan kepada pemain Sri Pahang FC berbeza dengan JDT yang tidak diberikan sebarang kad kuning meski terdapat terjahan yang dilakukan kepada pemainnya.

"Saya cakap terus terang, yang paling saya tidak senang sekali adalah pengadil, sekarang bola sepak boleh main macam ragbi.

"Kpah Sean Sherman pada separuh masa pertama, tiga hingga empat kali kena terjahan (tackle), tetapi tidak diberikan apa-apa termasuk sepakan percuma.

"Tetapi (pemain) kita ada tiga kad kuning, JDT tiada (kad kuning) satu pun, itu yang saya serta pasukan tidak puas hati dan ini tidak adil, memang kita tahu mereka pasukan yang bagus dan baik tetapi (pengadilan) harus adil," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu yang menyaksikan Sri Pahang tewas 1-3.  

Beliau turut mempertikaikan keputusan pengadil untuk memberikan sepakan penalti selepas melakukan semakan video bantuan pengadil (VAR), kerana ia seharusnya mampu memberikan gambaran jelas sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan pemain.

"Macam mana (boleh) penalti, apabila Arif Aiman sudah menggelecek dan terlepas bola, pemain kita lakukan terjahan bersih (clear tackle) dan dia (Arif Aiman) tercampak dan permainan diteruskan dalam tiga minit, selepas itu ditarik balik (untuk semakan VAR).

"Ini kurang baik untuk bola sepak, menang kalah dalam permainan itu adat dan kita datang untuk mencuri mata tetapi tidak kesampaian," katanya.

Fandi bagaimanapun memuji anak buahnya yang memberikan persembahan terbaik untuk memberikan tentangan dan mencipta peluang serta menyekat JDT daripada membuat jaringan pada separuh masa pertama.  

Sementara itu, ketua jurulatih JDT Hector Bidoglio menyifatkan pertemuan dengan Sri Pahang FC malam tadi sebagai perlawanan yang mencabar. 

"Dalam separuh masa pertama, kami tidak dapat memanfaatkan beberapa peluang menjaringkan gol namun situasi berubah dalam separuh masa kedua.

"Ia perlawanan yang sangat sukar dan kami perlu baiki kelemahan kami dan tingkatkan kemahiran setiap pemain untuk elak ulang kesilapan sama," katanya yang berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan