BELANJAWAN 2025 > BERITA

JPA Nafi Keluar Arahan Wajibkan Pejawat Awam Miliki BMI Seimbang

18/12/2024 02:47 PM

PUTRAJAYA, 18 Dis (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau kenyataan yang mewajibkan semua pegawai awam untuk memiliki indeks jisim badan (BMI) yang seimbang.

JPA menafikan kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Hospital Miri, Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Jack Wong Siew Yu pada 7 Dis lepas berkaitan "JPA Wajibkan Semua Penjawat Awam Miliki BMI Sihat Mulai Tahun Depan".

"JPA menggalakkan semua pegawai awam untuk melaksanakan saringan kesihatan kendiri termasuk mengambil ukuran berat badan dan tinggi bagi melihat status BMI dan diisytiharkan dalam sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS)," menurut kenyataan JPA, di sini hari ini.

Menurut JPA, inisiatif ini selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Awam (MyPPSM) Ceraian S.R 2.5.1 mengenai Perisytiharan Rekod Kesihatan bagi Membudayakan Gaya Hidup Sihat yang dikeluarkan pada 6 Sept 2022.

"JPA tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan atau arahan untuk mewajibkan semua pegawai awam memiliki BMI yang seimbang," menurut kenyataan itu.

Namun, JPA kekal komited untuk bekerjasama dengan KKM dalam usaha menangani isu obesiti dalam kalangan pegawai awam dan menyokong langkah-langkah dalam meningkatkan kesihatan awam secara keseluruhannya.

JPA juga menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang melibatkan mereka, perlu mendapatkan kebenaran rasmi, selain turut meminta agar jabatan itu tidak dijadikan rujukan tanpa pengesahan fakta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan