BELANJAWAN 2025 > BERITA

Dewan Negara Luluskan Lima RUU Berkaitan Aktiviti Perniagaan Di Labuan

18/12/2024 03:24 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Dewan Negara hari ini meluluskan lima rang undang-undang (RUU) di bawah Kementerian Kewangan berkaitan aktiviti perniagaan di Labuan iaitu RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No 2) 2024 dan RUU Syarikat Labuan (Pindaan) 2024.

Turut diluluskan RUU Amanah Labuan (Pindaan) 2024, RUU Undang-Undang Yayasan Labuan (Pindaan) 2024 serta RUU Perkongsian Terhad dan Perkongsian Liabiliti Terhad Labuan (Pindaan) 2024. 

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata pindaan RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No 2) 2024 bertujuan untuk meminda Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 bagi menambah baik struktur pentadbiran percukaian Labuan.

Menurutnya, penambahbaikan tersebut akan melalui pengenalan sistem taksir sendiri, pelaksanaan taksiran asas tahun semasa dan pengemukaan dokumen kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri melalui medium elektronik.

Lim berkata kerajaan akan terus komited untuk menambah baik pentadbiran dan pematuhan cukai, seterusnya memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap sistem percukaian negara. 

"Usaha mengekang ketirisan hasil cukai akan terus dipergiat. Sesi libat urus akan diteruskan bersama pemain industri Labuan dan pihak pengamal percukaian untuk meneliti cadangan reformasi cukai yang diterima oleh kerajaan," katanya.

Berkenaan dengan agihan cukai, beliau berkata kerajaan akan sentiasa memberikan komitmen dan perhatian terhadap pembangunan infrastruktur Pulau Labuan.

Bagi RUU Syarikat Labuan (Pindaan) 2024, Lim berkata RUU ini bertujuan untuk meminda Akta Syarikat Labuan 1990 (Akta 441) dengan memasukkan peruntukan baharu yang berhubung dengan rangka kerja pelaporan dan penzahiran maklumat pemunyaan benefisial.

Menurutnya, Malaysia termasuk Labuan IBFC akan dinilai buat kali keempat oleh badan antarabangsa Financial Action Task Force (FATF) yang dijadual berlangsung pada Februari tahun depan.

"RUU ini perlu segera dibentangkan di Parlimen dan diluluskan sebagai persediaan untuk sesi penilaian tersebut bagi memastikan Malaysia dan Labuan IBFC mendapat penarafan yang baik, seterusnya membantu meningkatkan imej Malaysia dan Labuan IBFC serta boleh menarik pelaburan asing ke Malaysia," katanya. 

Beliau berkata pindaan ini turut menjana ekonomi Labuan yang dapat meningkatkan peluang pekerjaan dan selari dengan Pelan Hala Tuju Strategik Labuan FSA 2022-2026 yang berpotensi membawa peluang pembangunan kepada pulau tersebut terutamanya dalam sektor baharu seperti kewangan digital, captive kewangan Islam dan pengurusan harta.

Bagi RUU Amanah Labuan (Pindaan) 2024, Lim berkata RUU ini bertujuan untuk meminda Akta Amanah Labuan 1996 (Akta 554).

Beliau berkata tujuan utama pindaan itu adalah untuk memasukkan peruntukan baharu berkaitan dengan rangka kerja pelaporan dan penzahiran maklumat pemunyaan benefisial berdasarkan amalan kewangan antarabangsa terbaik yang disarankan oleh FATF.

"Rang Undang-Undang ini juga akan memansuhkan elemen yang telah dikenal pasti sebagai amalan percukaian yang memudaratkan di bawah piawaian percukaian antarabangsa OECD," katanya. 

RUU tersebut mempunyai enam fasal yang turut mengandungi pindaan seksyen 54 Akta 554 untuk menaikkan jumlah maksimum penalti am daripada RM10,000 kepada RM50,000.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan