BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kriteria Baharu Pengecualian Audit Bagi Syarikat Persendirian Berkuat Kuasa 1 Jan 2025 - SSM

18/12/2024 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Kriteria baharu bagi pengecualian audit penyata kewangan untuk syarikat persendirian akan mula berkuat kuasa pada 1 Jan, 2025.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam satu kenyataan hari ini berkata kriteria semasa kekal berkuat kuasa sehingga 31 Dis ini dan terus terpakai bagi penyata kewangan untuk tempoh yang bermula sebelum 1 Jan, 2025.

“Langkah ini selaras dengan komitmen SSM untuk meningkatkan kualiti pengauditan bagi penyata kewangan di negara ini, di samping mengurangkan beban pematuhan yang dihadapi oleh syarikat persendirian.

“Kriteria baharu ini akan memberikan manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mengurangkan kos pematuhan serta memastikan kecekapan dan ketelusan amalan tadbir urus korporat terus berada di tahap terbaik,” katanya.

SSM pada Isnin lepas mengumumkan kriteria baharu pengecualian audit penyata kewangan bagi syarikat persendirian di Malaysia melalui penerbitan Arahan Amalan Bil. 10/2024 bertajuk “Qualifying Criteria Fo Exemption Fo Certain Private Companies in Malaysia”.  

Kriteria baharu pengecualian audit yang diperkenalkan itu telah melalui beberapa siri konsultasi bermula dari Februari 2023 sehingga Jun lepas, serta mendapat sokongan daripada 88 peratus responden.

Mana-mana syarikat yang ingin mendapatkan pengecualian audit perlu memenuhi mana-mana dua daripada tiga kriteria yang ditetapkan.

Kriteria pertama adalah perolehan tahunan syarikat tidak melebihi RM3,000,000 dalam tahun kewangan semasa dan dua tahun kewangan terdahulu.

Manakala kriteria kedua adalah jumlah aset syarikat dalam tahun kewangan semasa dan dua tahun kewangan terdahulu tidak boleh melebihi RM3,000,000.

Kriteria ketiga pula, bilangan pekerja pada akhir tahun kewangan semasa dan dua tahun kewangan sebelumnya tidak melebihi 30 orang.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh hubungi SSM Customer Care (SSMCC) di bahagian Aduan dan Maklum balas SSM Chatbot (24 jam, 7 hari), Live Chat SSM (8 pagi hingga 5.30 petang, Isnin hingga Jumaat, kecuali cuti umum) melalui portal rasmi SSM, talian telefon 03-7721 4000 atau e-mel ke enquiry@ssm.com.my.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan