KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) memperkenalkan “E-Commerce Chapter” untuk meningkatkan kerjasama kalangan peserta utama dalam industri e-dagang dan badan pengawalseliaan.
Platform yang baru diwujudkan itu bertujuan menyediakan saluran untuk dialog berterusan, pembangunan dasar, dan penyelarasan pengawalseliaan, dengan objektif merangsang pertumbuhan berterusan dalam sektor e-dagang Malaysia.
Presiden MICCI Christina Tee berkata langkah itu menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam ekonomi digital.
Beliau berkata pihaknya mewujudkan penghubung penting antara peserta industri dan badan selia dengan menggalakkan dialog terbuka untuk menangani cabaran industri secara berkesan, memperjuangkan inovasi dan memupuk pertumbuhan inklusif.
“E-dagang mempunyai keupayaan untuk memacu daya tahan ekonomi.
“Melalui platform ini kami komited untuk membangunkan ekosistem kolaboratif dan berpandangan jauh yang memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan, terutama dalam memperkasakan perniagaan dan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan,” katanya pada majlis pelancaran “E-commerce Chapter” di sini, Rabu.
Platform utama iaitu Shopee, Lazada, dan Mudah.my juga menyertai “E-commerce Chapter”.
Sementara itu, jurucakap MICCI dan “E-commerce Chapter” Hafidzi Razali berkata objektif pewujudan platform itu adalah membuka ruang perbincangan, berkongsi amalan terbaik, dan memastikan syarikat e-dagang terus menyumbang kepada pertumbuhan serta kelestarian pembangunan ekonomi digital di Malaysia.
Beliau berkata platform itu sebagai saluran untuk menyuarakan pandangan, kebimbangan, atau isu yang boleh diselesaikan bersama.
“Jadi, ia lebih inklusif dan tidak terhad kepada syarikat tertentu sahaja. Platform ini bukan bertindak sebagai orang tengah,” katanya pada sidang media selepas pelancaran itu.
Terdahulu, MICCI juga mengadakan perbincangan meja bulat.
Perbincangan itu menumpukan kepada strategi untuk memastikan pertumbuhan e-dagang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, terutama kumpulan yang kurang mendapat perhatian seperti perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) di luar bandar serta usahawan wanita.
Perbincangan itu juga menekankan beberapa aspek seperti memacu pertumbuhan ekonomi, memperkukuh perlindungan pengguna, dan menyokong kukuh sektor logistik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial