BELANJAWAN 2025 > BERITA

Penumpang Di KLIA Disaran Buat Perancangan Awal Sempena Krismas, Cuti Sekolah

18/12/2024 07:25 PM

PUTRAJAYA, 18 Dis (Bernama) -- Malaysia Airports menasihati penumpang agar membuat perancangan awal dan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan pintar yang disediakan memandangkan jumlah penumpang dijangka meningkat dari 20 Dis ini hingga 5 Jan depan.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Mohd Izani Ghani berkata bersempena dengan cuti sekolah, perayaan Krismas dan sambutan tahun baharu pada tempoh itu, penumpang digalakkan menggunakan kios daftar masuk pintar atau secara dalam talian, e-boarding gate dan aplikasi MYairport untuk urusan yang lebih pantas dan mudah.

"Tiba di lapangan terbang dengan awal juga disarankan supaya mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk mendaftar masuk, pelepasan imigresen, selain meneroka pelbagai pilihan untuk membeli-belah dan menjamu selera sebelum berlepas.

"Penumpang juga diingatkan supaya menjaga kebersihan semasa menggunakan kemudahan di lapangan terbang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia Airports telah menambah tenaga kerja untuk memperkukuh operasi dan bersedia memastikan aliran penumpang yang lancar serta mengurangkan masa menunggu di lokasi-lokasi utama pada tempoh berkenaan.

"Persediaan sudah dibuat untuk menguruskan peningkatan jumlah penumpang. Dalam pada itu, kami turut memperkenalkan langkah-langkah keselamatan dan kebersihan yang dipertingkatkan untuk memberikan pengalaman bebas tekanan di lapangan terbang kepada semua," katanya.

Mohd Izani berkata sebagai hab utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjangkakan peningkatan ketara penumpang domestik dan antarabangsa, dengan purata pergerakan penumpang di Terminal 1 dan 2 masing-masing dianggarkan mencecah 104,000 dan 98,000 orang sepanjang tempoh itu.

"Syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines, Batik Air dan AirAsia menjadualkan kira-kira 30 hingga 35 penerbangan tambahan setiap hari, menjadikan kira-kira 1,085 jumlah pergerakan penerbangan sehari di KLIA," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan