BELANJAWAN 2025 > BERITA

LZS Kutip Zakat Berjumlah RM844 Juta Tahun Ini

19/12/2024 06:21 PM

SHAH ALAM, 19 Dis (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) merekodkan kutipan zakat berjumlah RM844 juta membabitkan 322,000 pembayar zakat termasuk individu dan syarikat korporat sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini daripada jumlah itu, zakat perniagaan menjadi penyumbang utama dengan kutipan sebanyak RM176 juta yang diterima dari Januari hingga November lepas.

Beliau berkata dengan pertambahan bilangan usahawan Muslim, pihaknya menyasarkan kutipan zakat perniagaan sebanyak RM191 juta tahun ini.

“Meskipun ada peningkatan kutipan hakikatnya potensi sebenar yang layak untuk berzakat masih besar jumlahnya dan atas faktor itu kami optimis untuk menyasarkan angka kutipan tersebut bagi zakat perniagaan.

“Dengan jumlah asnaf yang kini melebihi 73,000 ketua keluarga dan dijangka terus bertambah di Selangor, sasaran kutipan zakat ini menjadi penanda aras kepada LZS untuk bekerja keras memastikan keperluan agihan kepada asnaf dapat dipenuhi,” katanya ketika berucap pada majlis Iktiraf Muzakki dan Penyerahan Zakat (IMTIYAZ) di sini hari ini.

Pada majlis sama, LZS menerima serahan zakat perniagaan daripada 47 syarikat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM21.2 juta.

Mohd Sabirin berkata penyerahan itu bukan sahaja melambangkan keprihatinan syarikat terbabit terhadap kewajipan berzakat tetapi menjadi inspirasi kepada organisasi atau syarikat lain untuk bersama-sama membantu golongan yang memerlukan.

LZS turut menyerahkan bantuan zakat sebanyak RM15.97 juta meliputi sumbangan bantuan agihan orang kurang upaya, bantuan dialisis, bantuan dermasiswa zakat luar negara dan insentif pelajar persendirian bagi Mesir dan Jordan.

Selain itu, bantuan baik pulih rumah dan bantuan bulanan, bantuan sewa rumah dan kewangan bulanan serta bantuan kewangan bulanan dan kewangan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan