BELANJAWAN 2025 > BERITA

Lebih 44,000 Pesawah MADA Terima Bantuan BKST Fasa 2

19/12/2024 09:52 PM

JERLUN, 19 Dis (Bernama) -- Sebanyak 44,139 orang pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan menerima Bantuan Khas Sumbangan Tunai (BKST) Fasa 2 membabitkan peruntukan berjumlah lebih RM26.48 juta.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata menerusi bantuan itu pesawah yang layak akan menerima RM200 sebulan,  yang diagihkan untuk tempoh tiga bulan atau semusim penanaman padi.

“Kita harapkan ia dapat membantu meringankan beban pesawah yang menghadapi kesan perubahan cuaca tidak menentu…perubahan cuaca ini bukan sahaja dihadapi negara kita tetapi juga negara maju.

“Cuma kalau di negara seperti Amerika Syarikat, ada teknologi canggih dari sudut amaran awal…kita pun ada amaran awal, misalnya gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku 9 hingga 14 Dis. Memang hujan lebat turun di utara dan Pantai Timur tetapi tidak sehebat sebelum itu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Ihsan MADANI-Penyerahan BKST Fasa 2 di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 250 pesawah menerima bantuan BKST Fasa 2 terdiri daripada pesawah dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kerpan, PPK Kubang Sepat, PPK Jerlun dan PPK Kuala Sungai.

Bagi pesawah lain, bantuan tersebut akan disalurkan ke akaun bank masing-masing bermula minggu depan.

Sementara itu, Mohamad berkata 4,854 pesawah MADA akan menerima bantuan wang ihsan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) berjumlah lebih RM10.48 juta.

Beliau berkata bantuan disalurkan kepada pesawah yang terjejas akibat bencana banjir di Kawasan Muda melibatkan kawasan seluas 5,976 hektar pada September dan Oktober lepas.

Dalam pada itu, Mohamad turut menyarankan pesawah khususnya di kawasan MADA untuk mendaftar Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang diperkenalkan untuk melindungi pesawah daripada risiko tanaman terjejas akibat bencana, penyakit dan perosak.

“Pesawah yang mendaftar, pihak Agrobank akan terus memberi bantuan kepada mereka, caruman awal dibuat sendiri oleh bank, pesawah hanya perlu mendaftar menerusi PPK dan cawangan Agrobank,” katanya.

Menurut beliau lagi, setakat ini sekitar 20 peratus pesawah MADA telah mendaftar skim tersebut dan diharap jumlah itu akan meningkat agar pesawah yang layak dapat dilindungi menerusi skim berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan