Mata wang kripto, iaitu sebarang bentuk mata wang digital - juga dikenali sebagai aset digital - semakin mendapat perhatian global termasuk Malaysia dan dilihat sebagai alternatif terbaik kepada mata wang konvensional.
Sistem kewangan ini tidak dikawal oleh mana-mana pihak, sebaliknya menggunakan kaedah kriptografi atau berasaskan kod, yang beroperasi dengan teknologi rantaian blok (blockchain) bagi membolehkan transaksi berlaku tanpa perantara seperti bank, sekali gus menjamin keselamatan dan ketelusan, selain tidak boleh diubah.
Berdasarkan maklumat di laman web Triple-A, sebuah firma berkaitan kewangan dan teknologi (fintech), seramai 562 juta individu memiliki mata wang kripto pada tahun ini, berbanding 420 juta pada 2023.
Menurut Triple-A lagi, Emiriah Arab Bersatu, Singapura dan Turkiye mencatatkan kadar pemilikan mata wang kripto tertinggi dalam kalangan 30 ekonomi teratas, manakala Asia kekal sebagai pendahulu dari segi jumlah pemilikan, iaitu sebanyak 326.8 juta, diikuti Amerika Utara dengan 72.2 juta.
Namun begitu, di sebalik peluang dan potensi besar mata wang ini dalam merevolusikan sistem kewangan, pelaburan mahupun perniagaan, wujud kebimbangan akan risiko penipuan.
SASARAN PENIPUAN DALAM TALIAN
Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Ts Azrul Zafri Azmi berkata pasaran mata wang kripto global kini bernilai lebih US$2 trilion dengan lebih 60 peratus daripadanya didominasi oleh Bitcoin dan Ethereum.
pic-2
Mengambil contoh Bitcoin, beliau berkata nilai mata wang kripto itu meningkat daripada US$0.08 seunit pada 2010 kepada lebih US$60,000 pada puncaknya, dan hingga awal Disember 2024 harga Bitcoin telah mencecah US$100,000.
“Di sebalik kerancakan perkembangan mata wang kripto ini, data Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan lebih daripada 4,000 kes penipuan berkaitan mata wang kripto dilaporkan di Malaysia dalam tempoh lima tahun lepas, melibatkan kerugian lebih RM200 juta.
“Selain itu, dalam tempoh 2020 hingga 2023, kes penipuan mata wang kripto meningkat sebanyak 30 peratus,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Azrul Zafri berkata kurangnya pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan pengguna baharu mengakibatkan mereka mudah terpengaruh dengan janji pulangan tidak realistik, seperti “skim pelaburan Bitcoin” yang menjanjikan pulangan 10 peratus sehari.
“Kesukaran mengesan transaksi turut menyumbang kepada isu penipuan atau scam ini kerana transaksi mata wang kripto menggunakan teknologi blockchain yang bersifat anonim dan tidak dapat diubah, sekali gus memudahkan scammer melarikan wang tanpa dapat dikesan.
"Penggunaan platform tidak berdaftar yang menawarkan kadar keuntungan lebih tinggi berbanding platform berdaftar turut mengundang scammer,” katanya, menambah antara pengendali Pertukaran Aset Digital (DAX) berdaftar ialah MX Global Sdn Bhd, SINEGY DAX Sdn Bhd, Luno Malaysia Sdn Bhd dan Tokenize Technology (M) Sdn Bhd.
(DAX merupakan platform elektronik yang memudahkan perdagangan aset digital, membolehkan pelabur memperdagangkan aset digital yang dibenarkan seperti Bitcoin, Ether, Ripple, Litecoin dan Bitcoin Cash)
FAHAMI PERKARA ASAS
Tawaran keuntungan yang tinggi dalam masa singkat, tekanan agar pelaburan dilakukan segera dengan taktik “promosi akan tamat dalam tempoh tertentu” serta tiada maklumat syarikat yang sah, adalah antara ciri-ciri skim penipuan mata wang kripto.
pic-3
Azrul Zafri berkata pengguna perlu melindungi diri daripada penipuan dengan memilih platform yang berdaftar selain menyemak kredibiliti pelaburan.
“Rujuk sumber sahih untuk memeriksa lesen dan reputasi platform tersebut. Elakkan ‘Skim Ponzi’ atau pemasaran pelbagai peringkat (MLM) yang biasanya meminta pengguna merekrut orang lain sebagai pelabur baharu untuk mendapatkan keuntungan.
“Pengguna juga perlu menggunakan Pengesahan Dua Faktor (2FA) sebagai keselamatan tambahan pada akaun mereka untuk mengelakkan akses tanpa kebenaran,” nasihat beliau.
Katanya, beberapa langkah boleh diambil untuk memanfaatkan potensi mata wang kripto termasuk memperkenalkan dasar dan kawal selia yang lebih ketat dengan kerajaan memastikan setiap platform mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi melindungi pengguna.
Beliau juga menggesa agar kesedaran dan pendidikan awam ditingkatkan selain bakal pengguna disaran memahami sepenuhnya perkara asas tentang mata wang kripto bagi mengelakkan daripada ditipu.
“Mata wang kripto merupakan aset digital yang sah dan mempunyai potensi besar untuk meningkatkan ekonomi serta inovasi teknologi, dan kerjasama semua pihak termasuk pengguna, kerajaan dan agensi seperti MCCA mampu memastikan ekosistem yang lebih selamat dan berdaya maju di Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, MCCA sedia memainkan peranannya bagi meningkatkan kesedaran masyarakat menerusi kempen kesedaran selain bersedia menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak, antaranya Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bank Negara Malaysia (BNM) dan PDRM.
BERKEMBANG PESAT
Turut berkongsi pandangan, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad memetik laporan Statista, platform data dan perisikan perniagaan global, yang mengunjurkan hasil pasaran mata wang kripto Malaysia dijangka mencecah US$306 juta pada tahun ini (2024).
Beliau berkata Malaysia dan Singapura dikenal pasti sebagai negara di Asia Tenggara yang menunjukkan perkembangan pesat dalam penggunaan mata wang berkenaan.
pic-4
“Pada tahun depan, Malaysia disasarkan mempunyai sekitar 4.6 juta pengguna mata wang kripto. Perkara ini bukanlah menghairankan kerana lebih 90 peratus populasi Malaysia mempunyai akses kepada Internet dengan lebih 75 peratus memiliki literasi digital, iaitu kemahiran asas ICT.
“Melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) yang diperkenalkan pada 2021 oleh kerajaan, mata wang kripto dilihat berpotensi untuk menjadi semakin popular,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata amat penting untuk pengguna memahami asas kripto seperti teknologi blok rantaian, jenis kripto, cara sistem berfungsi serta tahap keselamatan sistem agar mereka tidak mudah terpedaya, terutamanya dimanipulasi untuk pengubahan wang haram.
“Usaha meningkatkan pengetahuan asas dan memahami kerangka undang-undang serta peraturan berkaitan mata wang kripto juga dituntut memandangkan ekosistem perundangan sistem kewangan ini masih dalam proses pemantapan.
“Kemahiran dan pengetahuan membuat analisis trend atau corak mata wang kripto juga satu aspek dalam membuat pelaburan yang bertanggungjawab, di samping mendapatkan nasihat golongan profesional perlu menjadi keutamaan, khususnya bagi mereka yang mahu berjinak-jinak dengan penggunaan sistem mata wang ini,” katanya.
Berpendapat mata wang kripto menyediakan satu sistem kewangan alternatif bukan sahaja bagi tujuan pelaburan tetapi juga transaksi harian sebagaimana e-dompet, Mohd Khairie berkata sifat sistem itu yang kurang kerenah birokrasi dan tidak tertakluk kepada sistem sandaran mata wang dunia seperti dolar Amerika, menjadikan aset digital ini lebih stabil walaupun masih bersifat turun-naik.
Namun begitu, katanya, penerimaan lebih meluas rakyat terhadap mata wang itu bergantung pada kerangka perundangan.
“Buat masa ini tatakelola mata wang kripto masih tidak meyakinkan dari segi ketelusan dan ketekalan (kebolehpercayaan), memandangkan BNM masih belum mengiktiraf mata wang itu sebagai satu bentuk wang yang boleh diterima untuk diperdagangkan,” katanya, menambah penerimaan mata wang kripto di Malaysia sangat dipengaruhi oleh ekosistem yang diperkenalkan oleh pihak berkuasa.
RANGSANG TEKNOLOGI KEWANGAN
Sementara itu, Penolong Profesor di Jabatan Kewangan, Kolej Perniagaan Prince Sultan University di Riyadh, Arab Saudi, Dr Nadisah Zakaria berkata mata wang kripto dapat menyediakan akses kepada perkhidmatan kewangan buat penduduk di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan bank seperti di pedalaman.
Katanya, sebagai sebuah negara berorientasikan perdagangan, Malaysia mendapat manfaat daripada penggunaan mata wang kripto menerusi pembayaran rentas sempadan yang lebih murah dan pantas, mengurangkan kebergantungan pada sistem pengiriman wang konvensional yang mengenakan fi berkadar tinggi.
pic-5
“Mata wang kripto dapat memupuk inovasi dalam sektor teknologi kewangan, berpotensi merangsang ekonomi digital Malaysia dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam pembangunan rantaian blok, platform perdagangan serta perkhidmatan berkaitan.
“Justeru, mata wang kripto menawarkan kelas aset baharu kepada rakyat Malaysia dan menyediakan peluang kepelbagaian dalam portfolio pelaburan mereka, terutamanya untuk generasi muda yang celik teknologi. Selain itu, perusahaan kecil dan sederhana yang membentuk sebahagian besar ekonomi Malaysia juga dapat menerima faedah daripada pembayaran menggunakan mata wang digital ini, mengurangkan kebergantungan pada perbankan tradisional serta mempermudah akses kepada pasaran global,” katanya.
Menyentuh risiko di Malaysia, Nadisah berkata sekalipun BNM telah mengeluarkan garis panduan tentang penggunaan mata wang kripto, ketiadaan peraturan komprehensif mungkin mengundang penyalahgunaan, penipuan dan ketidakstabilan dalam pasaran.
Tambah beliau, mata wang kripto dikenali dengan naik turun harga melampau yang menimbulkan risiko besar kepada pelabur dan boleh menyebabkan kerugian kewangan bagi mereka yang tidak biasa dengan pasaran.
Sifat pseudo-tanpa nama bagi mata wang kripto juga menimbulkan kebimbangan tentang penggunaannya dalam pengubahan wang haram serta pembiayaan keganasan dan aktiviti haram yang lain.
“Tidak seperti produk kewangan terkawal, mata wang kripto tidak menawarkan sandaran untuk pengguna dalam kes penipuan atau salah urus oleh bursa, menyebabkan pelabur terdedah,” tambahnya.
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh beliau dan pasukannya ketika bertugas di International University of Malaya-Wales pada 2023, bertajuk “Fintech Adoption In Accounting: A Study Of Millennials’ And Gen-Zs’ Readiness In Malaysia,” didapati generasi muda Malaysia, terutama yang berusia 20 ke 40 tahun, lebih berpengetahuan tentang mata wang kripto, kerana mereka terdedah kepada media sosial, celik teknologi dan minat dalam pelaburan berinovasi.
Platform seperti X (sebelum ini Twitter), TikTok dan Telegram lazim digunakan bagi perbincangan tentang kripto serta penubuhan komuniti pengguna.
Kajian juga mendapati di kawasan bandar, terutama dalam kalangan profesional dan usahawan, wujud peningkatan kesedaran disebabkan oleh keterdedahan kepada perkembangan teknologi kewangan dan forum pelaburan.
Di kawasan luar bandar pula, tahap pendedahan kepada mekanisme mata wang kripto adalah lebih rendah, terutamanya disebabkan oleh kekangan akses kepada Internet, tahap literasi kewangan yang rendah serta ketiadaan inisiatif pendidikan bersasar.
Beliau berkata sekalipun ramai rakyat Malaysia pernah mendengar tentang Bitcoin atau mata wang kripto lain, sebahagian besar daripada mereka tidak memahami bagaimana mata wang itu berfungsi, seperti rantaian blok, perlombongan dan dompet.
pic-6
“Kursus berkaitan mata wang kripto dan rantaian blok masih baharu di universiti dan institusi teknikal Malaysia, mewujudkan jurang dalam pendidikan berstruktur. Sekalipun sesetengah perniagaan menerima wang kripto sebagai pembayaran, penggunaan dalam transaksi hari ke hari kekal rendah disebabkan ketidaktentuan dan kekangan penerimaan peniaga,” katanya, menambah ketiadaan literasi kewangan asas boleh menggugat pemahaman tentang konsep mata wang kripto yang kompleks.
Berpendapat bahawa masa depan mata wang kripto di Malaysia mempunyai potensi dan juga cabaran tersendiri, beliau berkata dengan anjakan global terhadap mata wang digital itu, Malaysia mungkin akan menyaksikan peningkatan secara beransur-ansur penggunaan mata wang kripto dalam pembayaran, perdagangan dan pelaburan alternatif.
“Mata wang kripto mungkin dapat meraih momentum dalam sektor e-dagang Malaysia yang sedang berkembang apabila peniaga menggunakan sistem pembayaran kripto untuk menarik pengguna yang celik teknologi.
“BNM dan SC berkemungkinan membangunkan peraturan yang lebih jelas dan komprehensif, menggalakkan kepercayaan dan membolehkan penerimaan yang lebih meluas. Kejelasan peraturan mungkin menggalakkan penerimaan oleh institusi dan penciptaan inovasi oleh firma fintech.
“Peranan Malaysia sebagai ekonomi berteraskan perdagangan memberikan ruang untuknya memanfaatkan mata wang kripto di peringkat ASEAN/Asia sebagai kaedah pembayaran dan pembiayaan perdagangan rentas sempadan yang lebih cekap serta meningkatkan daya saing di pasaran global memandangkan kebanyakan pengguna adalah dari rantau itu,” tambah beliau.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial