KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bersedia membantu pihak industri termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui penyediaan perkhidmatan penyelesaian Pelaksanaan Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
NIOSH dalam kenyataan memaklumkan langkah berkenaan berupaya memastikan syarikat PMKS menyesuaikan diri dan tidak terbeban dalam pelaksanaan prinsip ESG melalui pendekatan secara berperingkat seperti disarankan kerajaan.
“NIOSH turut berkongsi pengalaman, kepakaran dan pelbagai kemudahan di 13 makmal bertaraf antarabangsa untuk membantu pihak industri, terutamanya PMKS meningkatkan pematuhan terhadap pelbagai peraturan ditetapkan pihak berkuasa termasuk berkaitan dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan matlamat ditetapkan di bawah pelan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, NIOSH menetapkan pematuhan kelestarian ESG dalam operasi harian dan perkhidmatan terasnya seperti pelaksanaan proses pendigitalan dan sistem pengurusan mengikut piawaian antarabangsa bagi aktiviti latihan dan perkhidmatan rundingan.
Tata amalan baik ini terbukti dapat menambah baik kualiti penyampaian, memperkasakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, memelihara alam sekitar dan meningkatkan integriti dan ketelusan pentadbiran.
Mengulas pelaksanaan Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Kebangsaan, NIOSH memaklumkan langkah itu bukan sahaja meningkatkan daya saing dan menarik pelaburan asing tetapi mampu memberikan impak positif terhadap ekonomi negara.
Ini juga menurut NIOSH akan membuka peluang untuk syarikat tempatan memperkukuhkan kedudukan mereka di peringkat global.
“NIOSH menyambut baik Pelan Strategik ESG Kebangsaan diumumkan kerajaan dan akan terus memberikan penyelesaian untuk menyokong inisiatif ESG yang mampu mengurangkan kos kepada organisasi dan pelanggan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata cadangan Pelan Strategik ESG Kebangsaan telah dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Negara Tahun 2024 yang dipengerusikannya.
Antaranya beliau berkata pelan itu dirangka dalam usaha kerajaan membawa entiti perniagaan Malaysia secara berfasa ke arah pematuhan dan pelaporan ESG, malah ke peringkat melangkaui tahap pematuhan sekali gus mewujudkan kelebihan kompetitif dan pembangunan mampan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial