BUKIT MERTAJAM, 20 Dis (Bernama) -- Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan melaksanakan larangan kenderaan berat melebihi lima tan di Bukit Tambun, di sini bermula 3 Feb 2025.
Datuk Bandar MBSP Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata pelaksanaan larangan kenderaan berat itu adalah untuk mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kelancaran lalu lintas di Jalan Bukit Tambun pada waktu puncak.
“Pelaksanaan larangan kenderaan berat melebihi lima tan kecuali kepunyaan kerajaan atau badan berkanun itu melibatkan Jalan Bukit Tambun dari persimpangan Jalan Perindustrian Bukit Minyak hingga Tol Bukit Tambun (utara) dan Jalan Pa Thau ke Paboi di Bukit Tambun pada waktu puncak.
“Larangan itu pada setiap hari kecuali Sabtu, Ahad dan hari kelepasan dari 6.30 pagi hingga 8.30 pagi dan 5 petang hingga malam,” katanya pada sidang media di MBSP hari ini.
Beliau berkata pemandu kenderaan berat boleh menggunakan laluan alternatif bagi arah utara dengan melalui Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) iaitu susur keluar Juru atau Tol Bandar Cassia manakala jalan Persekutuan atau negeri dengan menggunakan Jalan Tok Kangar-Jalan Perindustrian Bukit Minyak 8 dan Jalan Perindustrian Bukit Minyak-Jalan Kendi /Jalan Persekutuan-Jalan Perusahaan Valdor.
Bagi laluan arah selatan pula, beliau berkata mereka boleh menggunakan PLUS iaitu susur keluar Juru atau Tol Bandar Cassia manakala jalan Persekutuan atau negeri pula ialah Jalan Perusahaan Valdor.
Baderul Amin berkata pelaksanaan larangan kenderaan berat itu telah diwartakan melalui P.U. (A) 142 pada 29 Mac 2021dan dikuat kuasa mulai 31 Mac 2021, sehubungan itu ia akan dilaksanakan seperti yang dirancang.
Beliau berharap pemandu kenderaan berat dapat mematuhi pelaksanaan larangan tersebut dan pihaknya akan meletakkan papan tanda arahan memaklumkan perkara itu di kawasan yang terlibat.
“Pelaksanaan larangan ini juga adalah untuk kepentingan semua pengguna jalan raya di kawasan berkenaan terutama dalam menggurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial