BELANJAWAN 2025 > BERITA

Dari Padang Bola, Nicholas Kini Miliki Rangkaian Pusat Fisioterapi

20/12/2024 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Itu ungkapan sesuai bagi menggambarkan Nicholas Wee yang beralih dari padang bola untuk terjun ke dunia perniagaan dan kini bergelar usahawan dengan mempunyai 17 rangkaian pusat fisioterapi di seluruh negara.

Biarpun mewarisi perniagaan keluarga, bekas pemain skuad Harimau Muda berusia 32 tahun itu tetap melengkapkan diri dengan ilmu perniagaan sebelum memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBC Physiotherapy Malaysia pada 2020.

Nicholas yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan dari Manchester Metropolitan University telah membuktikan keupayaannya mengendali perniagaan ketika dunia berdepan cabaran pasca-COVID-19, menambah bilangan pusat fisioterapi syarikatnya daripada lapan pada 2020 kepada 17 setakat ini.

“Saya mengambil alih perniagaan semasa pandemik, iaitu masa paling sukar untuk mengendalikan perniagaan. Kami terpaksa menyesuaikan diri dan melaksanakan stategi baharu sepanjang tempoh itu. Saya percaya karier bola sepak saya telah meletakkan asas kukuh untuk kejayaan dalam perniagaan.

“Seperti dalam bola sepak atau mana-mana sukan, kejayaan memerlukan lebih daripada sekadar kemahiran dan bakat. Ketabahan, disiplin, kerja berpasukan, komunikasi, daya tahan dan keupayaan untuk dilatih adalah penting dalam bola sepak dan perniagaan,” katanya kepada Bernama.

Nicholas pernah beraksi dalam kategori bawah umur kebangsaan dan menyertai skuad Harimau Muda pada 2009 hingga 2011 di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee, selain bermain di peringkat kelab untuk Petaling Jaya (PJ) Rangers dan Kelab Bola Sepak Kementerian Kewangan (MOF).

Sebagai CEO, Nicholas mengurus operasi harian dan memantau pertumbuhan perniagaan manakala bapanya Wee Hock Kee yang juga Pengasas dan Pengerusi DBC Physiotherapy Malaysia, memberi panduan strategik untuk syarikat tersebut.

“Peranan saya ialah memberi tumpuan kepada operasi, bekerjasama dengan pelabur dan rakan kongsi, serta memacu pengembangan dan pertumbuhan perniagaan ke tahap seterusnya. Setakat ini, kami memberikan perkhidmatan kepada 500 hingga 600 pesakit setiap bulan.

“Menjelang suku pertama 2025, kami akan mempunyai hampir 25 pusat di seluruh Malaysia. Matlamat jangka panjang saya adalah untuk menubuhkan sekitar 50 pusat dan mengembangkan perniagaan ke negara jiran,” katanya.

Justeru, Nicholas menyarankan kepada pemain bola sepak dan atlet mempertimbangkan untuk melanjutkan pengajian atau membina kemahiran selain daripada kerjaya sukan mereka kerana jika dimulakan dari awal, ia memudahkan peralihan selepas persaraan.

Beliau berkata disebabkan pemain bola sepak sering bermain hingga usia 35 tahun, majikan mungkin ragu-ragu untuk mengambil pekerja berusia hampir 40 tahun tanpa kemahiran atau pengalaman.

Sementara itu, Wee berkata integrasi antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Belia dan Sukan adalah penting dalam memupuk lebih banyak bakat sukan.

“Selepas tukar sekolah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), (pengetua ketika itu) Datuk Marina Chin memberi jaminan kepada kami bahawa KPI mereka tertumpu kepada kecemerlangan sukan dan beberapa kredit akademik yang menjamin penempatan universiti.

“Mencapai keseimbangan antara pendidikan dan kerjaya sukan adalah penting,” katanya sambil menambah yang dia berbangga melihat Nicholas meningkatkan perniagaan ke peringkat seterusnya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan