KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Shopee Rai Lokal menyokong lebih 1.8 juta penjual tempatan tahun ini, manakala 500,000 ahli Shopee Affiliates memacu lebih 90 juta pesanan menerusi penghasilan kandungan yang disasarkan melalui ciri-ciri dalam aplikasi.
Ketua Pemasaran dan Pengurusan Data di Shopee Malaysia Tan Ming Kit berkata sejak dilancarkan pada 2019, Shopee Rai Lokal telah menjadi tonggak utama dalam misi Shopee untuk meraikan serta menyokong komuniti pengguna, usahawan dan bakat tempatan.
Beliau berkata inisiatif itu telah diperkukuh tahun ini dengan pelancaran laman web mikro, platform khusus buat pengguna untuk menerokai dan menyokong produk dan perniagaan tempatan kegemaran melalui baucar dan diskaun eksklusif.
“Usaha ini merapatkan jurang antara penjual dan pembeli, mencipta laluan langsung untuk pengguna menyokong usahawan tempatan.
“Shopee percaya dengan membekalkan pengguna akses mudah untuk menyokong usahawan tempatan adalah kunci untuk memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia dan memupuk ekosistem e-dagang yang berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shopee, platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan, menggalakkan ekosistem digital yang inklusif dan mampan dengan membolehkan pendigitalan perniagaan, perniagaan mengembangkan kehadiran dalam talian mereka, membantu lebih ramai orang mengakses dan memperoleh manfaat daripada perkhidmatan digital, serta membangkitkan komuniti tempatan.
Tan berkata antara ahli yang memberi inspirasi ialah Nurul Syuhana, ibu kepada lima anak yang menyertai Shopee Affiliate Shopee pada 2023 dan kini diiktiraf sebagai seorang daripada pemenang dalam kategori 'Shopee Affiliate 2 Million Ringgit Club'. Beliau berjaya meningkatkan jumlah pengikut daripada 33 hingga lebih 200,000.
Beliau berkata tahun ini turut menyaksikan program Pertunjukan Fesyen Raya Stail Kita mengetengahkan pereka tempatan, dengan menampilkan 10 penjual tempatan yang menarik lebih 70,000 penonton di Shopee Live.
Shopee juga katanya menganjurkan program Digital Platform Upskilling Summit yang merangkumi lima bahagian pada tahun ini, untuk melengkapkan lebih 1,000 penjual dengan ilmu pengetahuan penting tentang pematuhan peraturan, ketulenan produk, dan pensijilan halal agar dapat memenuhi kehendak pelanggan dengan lebih baik.
Tan berkata sepanjang tahun ini, Shopee turut menjalin kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM), Program MADANI Rakyat di Sabah selain dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi Kempen Best of Malaysia yang menyokong hampir 3,000 jenama tempatan untuk memperluas capaian mereka.
“Kerjasama dengan KPDN dan MDEC mengetengahkan pegangan Shopee bahawa kolaborasi adalah kunci kepada pertumbuhan berskala dan mampan dalam ekonomi digital Malaysia.
“Dengan bekerjasama rapat bersama-sama badan kerajaan, Shopee menyediakan platform sokongan berstruktur untuk memperkasakan penjual tempatan dan komuniti untuk berjaya,” katanya.
Tan berkata Shopee turut meningkatkan usaha mereka untuk memperkasakan komuniti melangkaui e-dagang, termasuk melalui kempen Pek Kasih Mama yang dilancarkan bersama Kementerian Kesihatan dan mengagihkan pek penjagaan kepada golongan ibu yang memerlukan di seluruh Malaysia.
“Shopee terus memperkukuh inisiatif ini menerusi Shopee Mum’s Club - komuniti maya yang memperkasakan ibu-ibu dengan perkongsian ilmu daripada pakar melalui sesi Shopee Live.
“Kelab ini juga menyediakan tips keibubapaan, kandungan secara langsung, baucar eksklusif, dan tawaran yang diperibadikan untuk menyokong ibu sepanjang perjalanan keibubapaan mereka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial