KOTA KINABALU, 20 Dis (Bernama) -- Tujuh Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) akan mula beroperasi di Sabah pada tahun depan, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata lima NADI akan beroperasi pada Januari iaitu Koisaan Point di Ranau, Kampung Sinulihan (Pensiangan), Kampung Batu 2 (Tawau), Gaya Centre (Kalabakan) dan Taman Keramat (Kota Kinabalu) manakala dua lagi di kawasan pulau di Kampung Gelam-Gelam (Semporna) dan Pulau Bangi (Kudat) beroperasi pada Mac.
"Jumlah asal (sedia ada) NADI di Sabah adalah 118.
“Kita rancang 14 lagi, tujuh NADI telah siap dan beroperasi termasuk NADI Luyang, manakala tujuh lagi dalam pelaksanaan (beroperasi tahun depan)," katanya kepada pemberita selepas melawat NADI Luyang di sini hari ini.
Teo berkata selain Luyang, NADI yang telah siap dan beroperasi adalah di Kampung Warisan dan Bandar Putra di Sepanggar; Dermaga dan Plaza Tanjung Aru (Kota Kinabalu); Kampung Rosok (Kota Belud) dan Taman Mawar, Batu Sapi di Sandakan.
Mengenai NADI Luyang, Teo amat mengalu-alukan penduduk di sekitar kawasan itu supaya dapat memanfaatkan pusat berkenaan.
Beliau berkata 10 komputer riba turut disediakan dengan kelajuan Internet 100Mbps, selain saringan kesihatan dan jualan hasil produk usahawan di bawah NADI.
"Lokasi NADI Luyang sangat strategik, ada 10 taman perumahan dengan potensi pengguna lebih 52,000 penduduk," katanya.
Sementara itu, Pengurus NADI Luyang Hafizah Jumat berkata pusat itu mula beroperasi pada 18 Okt lepas dan setakat ini sebanyak 167 ahli telah berdaftar, manakala empat orang usahawan dibantu.
Beliau berkata pelbagai program diatur dalam usaha memperkenalkan NADI Luyang kepada komuniti setempat antaranya eKelas, kelas kemahiran dan saringan kesihatan.
"Untuk perancangan masa depan, kami atur program yang holistik untuk komuniti di sini kerana selain lokasi strategik, penduduknya juga padat," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial