Oleh Zufazlin Baharuddin & Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Kerangka Insentif Pelaburan Baharu, yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 menunjukkan langkah berani Malaysia meletakkan kedudukan sebagai negara berpendapatan tinggi dengan menekankan sektor bernilai tinggi terutamanya pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) dalam ekonomi digital.
Penganalisis ekonomi INCEIF University Prof Baharom Abdul Hamid berkata, kerangka baharu ini, yang dijangka dilaksanakan pada suku ketiga tahun depan dijangka bukan sahaja mencipta produk dan perkhidmatan bernilai tinggi malah pada masa sama menyediakan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan berpendapatan tinggi.
"Pada 1970-an dan 80-an, kita menawarkan buruh yang murah, sumber yang murah, pengecualian cukai dan sebagainya, dan apa yang kita raih adalah pelaburan dalam industri bernilai rendah, pembuatan dan sebagainya.
“Oleh itu pada masa ini, apa yang dihasratkan oleh kerajaan adalah pelaburan langsung asing (FDI) dalam bidang teknologi termaju, FDI yang boleh melahirkan pekerjaan bernilai tinggi dan platform untuk kita bergerak menuju negara berpendapatan tinggi," katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Oktober lepas mengumumkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang merangkumi dana pelaburan strategik bernilai RM1 bilion untuk meningkatkan kapasiti bakat tempatan dan menggalakkan pelaksanaan aktiviti bernilai tinggi di negara ini.
Baharom menyifatkan Kepengerusian ASEAN 2025 dan perkongsian dengan negara-negara BRICS akan mempercepat Kerangka Insentif Pelaburan Baharu.
Malah katanya ini juga adalah masa yang sesuai untuk memanfaatkan dua peranan kepimpinan Malaysia dan membuka peluang baharu yang penting untuk kerjasama digital dan ekonomi.
"Peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN menempatkan negara dalam kedudukan lebih kukuh, memanfaatkan blok perdagangan sewajarnya untuk memupuk kerjasama antara negara-negara ASEAN.
“Kesatuan ini membolehkan kita memperkukuh dan meningkat antara satu sama lain untuk kesejahteraan bersama.
“Sebagai contoh, Brazil iaitu satu daripada negara utama, membawa kepakaran dalam pendigitalan dan AI. Rusia pula dikenali dengan kebolehan dalam teknologi dan pendigitalan manakala China adalah peneraju global dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.
Penggiat industri manfaatkan AI
Daripada perspektif industri, Kerangka Insentif Pelaburan Baharu ini akan memanfaatkan syarikat yang menumpukan kepada AI dan robotik seperti penyedia penyelesaian teknologi termaju FSBM Holdings Bhd.
FSBM memfokuskan untuk memajukan segmen perkhidmatan teknologi maklumat (IT), dengan mereka bentuk dan membangunkan penyelesaian IT khusus seperti pembuatan pintar, keselamatan siber, aplikasi pintar dan penyelesaian digital.
Pengarah Urusannya Pang Kiew Kun berkata syarikat itu akan menggunakan insentif berkenaan, terutamanya pengurangan cukai untuk memberi tumpuan kepada R&D dalam penyelesaiannya.
"Pada masa ini kami dalam R&D untuk membangunkan produk blokbuster yang dinamakan sebagai Pengurusan Rantaian Bekalan Pintar untuk memberi perkhidmatan kepada seluruh kategori pembuatan.
“Memandangkan kerangka ini memperkenalkan potongan cukai untuk R&D AI dan menambah kemahiran bakat, kami akan memanfaatkannya berikutan ia sejajar dengan matlamat syarikat kami untuk menambah baik ke arah penyedia penyelesaian teknologi lebih maju," katanya.
Meskipun Pang memuji kerangka insentif baharu itu sebagai inisiatif bermatlamat tinggi, katanya syarikat itu bergelut dengan isu kekurangan tenaga kerja mahir dalam sektor AI dan robotik.
Justeru, beliau berharap kerangka baharu itu bukan sahaja dapat menarik lebih banyak FDI malah berperanan sebagai usaha penting kerajaan dalam memajukan tenaga kerja tempatan dan memupuk penggunaan teknologi.
Tenaga kerja mahir AI
Seiring dengan matlamat kerajaan untuk memesatkan AI, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah diberikan mandat untuk menubuhkan pusat pembelajaran AI pertama iaitu Fakulti AI dengan peruntukan awal berjumlah RM20 juta untuk memperkasakan penerokaan dalam bidang itu.
Pada Oktober 2024, universiti berkenaan melancarkan program Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan melibatkan seramai 101 pelajar tempatan sebagai kohort perintis.
Menurut dekan fakulti berkenaan Prof Mohd Nazri Mahrin, kerjasama antara akademia dan industri penting bagi memastikan siswazah dilengkapkan dengan kemahiran yang diperlukan untuk sektor bernilai tinggi menerusi kerangka itu.
Katanya langkah ini membolehkan pelajar mengharungi cabaran sebenar dunia AI, sekali gus memastikan mereka dapat memenuhi permintaan sektor bernilai tinggi selepas menamatkan pengajian.
"Kami sedang menyediakan pelajar dengan mesin yang lebih canggih dinamakan Unit Pemprosesan Grafik bagi mendedahkan mereka dengan teknologi terkini yang digunakan oleh pihak industri.
"Penyataan masalah, kajian kes dan data sebenar daripada industri akan membantu mendedahkan pelajar kepada isu sebenar serta merapatkan jurang antara akademia dan pihak industri bagi mendapatkan manfaat maksimum daripada teknologi AI," katanya.
Mohd Nazri berkata bagi melihat hasil bakat AI UTM ini akan mengambil sedikit masa memandangkan program berkenaan baru bermula Oktober lepas dan mengambil masa tiga tahun untuk pelajar menamatkan pengajian.
Sementara itu, peruntukan bagi pengembangan sebanyak RM50 juta daripada RM20 juta menerusi Belanjawan 2025 untuk pendidikan berkaitan AI turut menunjukkan komitmen negara terhadap masa depan dan pasaran pekerjaan dipacu AI.
Prospek
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kementerian itu bercadang untuk mengumumkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu itu seawal suku pertama tahun depan bagi memastikan pelabur mendapat maklumat berkenaan insentif itu secepat mungkin.
Sehubungan itu, Baharom menjangkakan hasil daripada pelaksanaan kerangka baharu itu dapat dilihat pada suku pertama 2026.
“Pelaksanaan disasarkan menjelang suku ketiga tahun depan supaya kita boleh merancang segala-galanya dan kita boleh menggunakan sepenuhnya jawatan pengerusi ASEAN serta sebagai negara rakan kongsi BRICS.
"Kita perlu menyelaraskan segala-galanya dengan betul dan terdapat perkara tertentu yang perlu kita lakukan seperti beberapa perjanjian dengan negara perdagangan rakan kerjasama kita untuk memastikan kita tidak terjejas dengan kerajaan baharu Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau berkata kerangka insentif baharu ini akan menyokong peralihan berkenaan, menyediakan insentif penting untuk menarik pelaburan di samping menjamin kemakmuran rancangan ekonomi Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial