BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pusat Beli-belah Di Ibu Kota Jadi Tumpuan Ramai Menjelang Krismas

21/12/2024 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Kehangatan sambutan Krismas kian terasa dengan pusat beli-belah utama dipenuhi dengan dekorasi penuh warna-warni. 

Pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelancong asing tidak melepaskan peluang cuti hujung minggu untuk bersama-sama berkongsi kemeriahan perayaan itu yang bakal disambut pada 25 Dis.

Tinjauan Bernama mendapati pusat beli-belah sesak dengan pengunjung yang mengambil kesempatan membuat persiapan akhir, lebih-lebih lagi dengan tawaran promosi hujung tahun.

Christane Jane, 35, yang ditemui Bernama di sebuah pusat beli-belah di sini berkata, dia membuat persiapan akhir kerana baru berkesempatan berbuat demikian disebabkan sibuk dengan kerja.

"Sepanjang minggu ini saya bekerja dan akhirnya baru dapat luang sedikit masa membeli barangan untuk memasak pada Rabu depan kerana saya akan mengadakan dua acara jamuan tahun ini," katanya.

Bagi Rosemary Kutty, 60, pula dia sungguh teruja untuk menyambut Krismas pada tahun ini bersama adik-beradik setelah beberapa tahun tidak bersua.

"Selepas pemergian ibu bapa, kami tidak lagi mengadakan makan malam sempena Krismas bersama-sama. Tetapi tahun ini, adik-beradik pulang ke Malaysia untuk meraikan bersama-sama," katanya. 

Sementara itu, pelancong dari Eropah, Liesa, 23, berkata suasana perayaan Krismas di ibu kota dilihat lebih meriah dan diserikan lagi dengan dekorasi menarik dan unik yang terdapat di pusat beli-belah di sini.

"Saya suka suasana di Malaysia. Ia sangat meriah dan dipenuhi pelbagai jenis hiasan berbanding di ibu kota London," katanya. 

Pelancong dari India, Jagadish Pande, 38, bersama keluarga turut tidak ketinggalan merasai suasana perayaan Krismas di negara ini. 

"Kami gunakan kesempatan hujung minggu untuk meneroka bandar Kuala Lumpur dan membawa anak kami ke mengunjungi Aquaria,” katanya. 

Sementara itu, guru di sebuah sekolah agama Masrifah Masrodin, 43, menggunakan peluang cuti sekolah yang bermula hari ini untuk membawa anak-anak murid ke tempat menarik sekitar ibu kota bersama tujuh guru yang lain.

"Memang setiap tahun kami bawa murid sekolah kami untuk lawatan seperti ini dan untuk hari ini bawa mereka ke Aquaria, Kilang Coklat dan ke Muzium Negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan