BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kepengerusian ASEAN 2025 Menandakan Detik Penting Untuk Malaysia

22/12/2024 11:07 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Dalam tempoh kurang daripada dua minggu, Malaysia akan menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi ASEAN pada Januari 2025, menandakan detik penting untuk negara.

Blok ekonomi dan dasar ASEAN, yang terdiri daripada 10 negara anggota Asia Tenggara, muncul sebagai ekonomi kelima terbesar di dunia, dengan jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM3.8 trilion pada 2023 dan gabungan penduduk berjumlah 677 juta.

Di Asia Tenggara, perubahan politik telah menjadi amat ketara dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Daripada perubahan yang besar dalam sistem pemerintahan di Malaysia, sehingga kembalinya semula pemimpin dan keluarga politik yang telah dikenali di Indonesia, Filipina dan Kemboja, perkembangan ini ternyata melahirkan harapan dan kemungkinan baharu kepada warga ASEAN dan masa depannya.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah terlibat aktif dengan pemimpin-pemimpin Asia Tenggara sejak memegang jawatan itu pada November 2022, memanfaatkan kepakaran luas beliau dalam politik dan ekonomi bagi memperteguh hubungan serantau.

Menurutnya tumpuan Anwar terhadap kerjasama adalah penting, terutamanya ketika ASEAN mengalami peralihan dengan pemimpin baharu di Indonesia dan Thailand.

“Perubahan ini memberikan cabaran dan peluang kepada Anwar ketika Malaysia bersiap sedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi ASEAN.

“Isu-isu utama seperti pertikaian Laut China Selatan dan perkongsian BRICS yang semakin berkembang akan menguji kepintaran diplomatik beliau, menekankan keperluan untuk mencapai konsensus dan kemahiran rundingan yang cekap,” kata Innes kepada Bernama.

ASEAN telah menyaksikan perubahan pentadbiran melibatkan banyak negara anggota pada 2024 yang menyaksikan Lawrence Wong telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat Singapura pada Mei, manakala Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra memegang jawatan itu pada Ogos.

Pada Oktober, Prabowo Subianto dilantik sebagai Presiden kelapan Indonesia selaku negara yang mempunyai jumlah penduduk Islam terbesar di dunia.

Penganalisis dasar luar dan kajian keselamatan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Angeline Tan berkata ASEAN memasuki fasa baharu dengan peranan Malaysia sebagai pengerusi dan memberi peluang kepada negara anggota untuk memulakan perbincangan dan rundingan baharu.

“ASEAN kini berada dalam fasa baharu. Sukar untuk mencapai kemajuan dalam isu-isu yang mencabar dan sensitif seperti Laut China Selatan.

“Sebagai contoh, apabila anda berurusan dengan sekumpulan pemimpin baharu yang tidak terlalu erat, anda tidak akan mempunyai hubungan atau kepercayaan yang sama.

"Oleh itu, ini adalah satu proses yang pada pendapat saya, Perdana Menteri telah mulakan tahun ini sebagai persediaan untuk kepengerusian Malaysia tahun depan," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Mengenai pertikaian Laut China Selatan, Tan berkata selain Malaysia, negara-negara lain yang membuat tuntutan turut terlibat dalam melaksanakan sebarang keputusan mengenai Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang mencabar.

“Bukan sahaja China yang menimbulkan cabaran. Kesemua negara lain yang membuat tuntutan seperti Filipina, Vietnam dan Malaysia turut memainkan peranan dalam hal ini.

“Oleh itu, selagi ketegangan di Laut China Selatan terus meningkat, sangat sukar untuk kita meredakan keadaan ini dan mencapai kata putus mengenai COC,” katanya.

 

 

Perjanjian ekonomi digital pengaruh ketara kepada ekonomi ASEAN

 

ASEAN menjangkakan ekonomi digitalnya akan meningkat daripada US$300 bilion (US$1 = RM4.50) kepada US$1 trilion menjelang 2030.

Bagi memesatkan pertumbuhan berkenaan, rantau ini memfokuskan usaha untuk meningkatkan kemudahan transaksi digital dengan matlamat untuk menggandakan angka ini menerusi Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA).

Innes berkata terdapat keyakinan untuk DEFA dimuktamadkan pada 2025, didorong oleh usaha mencepatkan transformasi digital di rantau ini selepas COVID-19.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan DEFA bergantung kepada pewujudan rangka kerja pengawalseliaan yang seragam bagi menangani isu privasi data, keselamatan siber dan aliran data rentas sempadan.

“Pengharmonian adalah penting untuk memupuk persekitaran perniagaan yang dapat diramal, meningkatkan keterangkuman digital dan menggalakkan inovasi.

“Sepanjang dekad akan datang, DEFA bersedia untuk memberi impak ketara kepada landskap ekonomi ASEAN dengan mewujudkan pasaran digital yang teguh.

“Inisiatif ini akan memudahkan perdagangan merentas sempadan, merangsang inovasi dan berpotensi merapatkan jurang digital dalam kalangan negara anggota, seterusnya meningkatkan daya saing serantau," katanya.

Bagaimanapun, Innes menekankan bahawa pelaksanaan DEFA menimbulkan cabaran besar berikutan tahap infrastruktur digital yang berbeza-beza, landskap pengawalseliaan yang pelbagai dan jurang ekonomi dalam kalangan negara ASEAN.

Beliau berkata, menangani isu-isu ini memerlukan pelaburan besar dan pendekatan seimbang dalam kemajuan teknologi dan integrasi budaya, memastikan kesemua negara anggota meraih manfaat yang adil daripada ekonomi digital.

 

 

Hubungan ASEAN-China 

 

ASEAN menjadi rakan dagang terbesar China, mengatasi Kesatuan Eropah pada 2020.

Pada 2023, perdagangan dengan negara-negara ASEAN menyumbang sebanyak 15.9 peratus daripada jumlah perdagangan luar China, dengan perdagangan dua hala mencapai US$468.8 bilion, meningkat 10.5 peratus daripada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan mengenai pengaruh China di rantau ini, terutamanya apabila Malaysia dan beberapa negara ASEAN lain menyertai BRICS.

Mengulas aspek ini, Tan berkata pengaruh China yang semakin meningkat adalah perkembangan semula jadi, dengan mengambil kira saiz ekonomi dan kedekatan geografinya, yang menjadikannya sukar untuk ditepis

Beliau berkata idea untuk menyertai BRICS lahir daripada keinginan untuk mempunyai alternatif dan bekerjasama dengan rakan lain.

Menurut Tan menjalinkan hubungan dengan BRICS tidak semestinya mengenai China atau Rusia, tetapi untuk membina hubungan dengan rakan BRICS yang lain.

 

 

Kepresidenan Trump

 

Mengenai  Donald Trump sebagai presiden dilantik Amerika Syarikat (AS), Tan menjangkakan lebih banyak dasar disasarkan kepada China, menyebabkan ASEAN mungkin akan terkesan dengan tindakan ini.

Bagaimanapun, beliau menjangka ASEAN tidak akan menjadi sasaran utama apabila Trump mengambil alih jawatan ini pada Januari.

"Saya tahu China telah mengambil pengajaran daripada tempoh penggal pertama Trump. Apabila perang perdagangan berlaku, China mula mempersiapkan diri dengan mengukuhkan rangkaian bekalan dan meningkatkan kemampuannya.

“Mereka kini lebih bersedia berbanding pada 2016 untuk menghadapi sebarang kejutan ekonomi yang mungkin ditujukan AS kepada mereka.

"Washington diharap akan mengambil perhatian bahawa mereka tidak boleh sekadar mengenakan tarif atau langkah perlindungan yang menyasarkan China dan berharap ini memberi kesan kepada negara itu, kerana China telah mengambil pengajaran daripada situasi 2016 dan mengambil langkah untuk melindungi diri," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan