BELANJAWAN 2025 > BERITA

Keceriaan Krismas Hiasi Pusat Beli-belah Di Sabah

22/12/2024 02:09 PM

KOTA KINABALU, 22 Dis (Bernama) -- Keajaiban muncul sekali lagi tahun ini apabila pusat beli-belah di Sabah bertukar menjadi dunia ajaib yang menakjubkan masing-masing bersaing menunjukkan kehebatan dengan hiasan kreatif sempena perayaan Hari Krismas.

Tiga pusat beli-belah ikonik iaitu IMAGO Shopping Mall, Suria Sabah dan 1Borneo Hypermall menjadi tumpuan utama dengan hiasan perayaan yang megah dan memukau pengunjung, dan hiasan penuh kilauan ini menyentuh hati rakyat Sabah yang mendambakan kegembiraan dan kebersamaan, malah turut tular di media sosial.

Di IMAGO Shopping Mall, seorang guru Amber Nee Jirin, 29, dan keluarganya berkata kawasan di tengah pusat beli-belah itu bertukar menjadi kaleidoskop warna dan cahaya, pokok Krismas yang menjulang tinggi dihiasi dengan perhiasan berkilauan dan lampu bergemerlapan, menjadi tarikan utama.

Di sekitarnya, sebuah perkampungan musim sejuk yang mewah terbentang, lengkap dengan struktur air pancut, chalet, salji tiruan dan ikon Krismas yang ceria. Aroma kayu manis menyelubungi udara, hasil daripada pasar berdekatan yang menjual roti dan biskut Krismas.

"Tempat ini seperti sebuah poskad Krismas hidup. Ia tidak hanya mengenai hiasan, tetapi juga usaha yang telah mereka lakukan untuk memastikan semua orang merasai semangat Krismas. Anak-anak saya sangat menyukainya," kata Amber Nee.

IMAGO Shopping Mall dalam satu kenyataan kepada Bernama memaklumkan suasana perayaan di pusat beli-belah itu adalah elemen utama acara Krismas mereka iaitu A Joyful Celebration bersama-sama Jualan Akhir Tahun Malaysia 2024, dengan kerjasama Tourism Malaysia.

“IMAGO Shopping Mall yang terkenal dengan acara inovatif dan inklusif terus memberikan pengalaman luar biasa kepada para pengunjung.

“Sambutan Krismas tahun ini mengubah kawasan tengah menjadi Bandar Krismas yang indah, menggabungkan keceriaan musim perayaan dengan sumbangan ekonomi bermakna serta mewujudkan suasana mesra untuk semua,” menurut kenyataan itu.

IMAGO Shopping Mall turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk merasai keajaiban perayaan A Joyful Celebration yang berakhir pada 1 Jan, dengan Pertunjukan Cahaya Harian pada pukul 1 petang, 3 petang, 5 petang dan 7 malam, serta Persembahan Tarian Krismas Harian pada 11 pagi dan 9 malam.

Sementara itu, Suria Sabah berubah menjadi satu pemandangan menarik untuk sambutan perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina, menggabungkan keunikan dua musim perayaan dalam satu hiasan dengan memberikan pengalaman visual yang menakjubkan.

Pengunjung pusat beli-belah itu disambut dengan pemandangan luar biasa, Santa Claus dan Dewa Kekayaan berdiri berdampingan di pintu masuk dengan cahaya berkelipan, perhiasan bersaiz besar, dan tanglung berwarna merah yang unik turun dari siling, menggambarkan keharmonian kepelbagaian budaya yang wujud di Malaysia.

Seorang guru Amanda Liew, 32, berkata lagu-lagu ceria Krismas bercampur dengan irama gendang Cina, menghasilkan melodi unik bagi meraikan semangat kepelbagaian budaya di Sabah dan mencerminkan perpaduan serta saling menghormati yang mendefinisikan kehidupan di negeri itu.

“Inilah yang menjadikan Malaysia sangat istimewa. Hiasannya bukan sahaja cantik, tetapi mengingatkan kita bahawa tradisi boleh wujud dan bersinar bersama. Santa Claus dan Dewa Kekayaan memberikan sambutan yang hangat, dan menjadi tempat tumpuan keluarga dan pelancong untuk mengambil gambar,” katanya.

Di 1Borneo Hypermall, semangat Krismas mengambil pendekatan moden, menggabungkan pemandangan cahaya lampu LED, arca dawai yang unik dan fabrik cantik. Pusat beli-belah itu memilih pendekatan lebih sederhana tetapi penuh makna untuk musim perayaan kali ini. 

Pengunjung disambut oleh gerbang bercahaya yang diperbuat daripada kaleidoskop lampu LED, membingkai pintu masuk seperti portal ke dunia ajaib. Di dalamnya, seekor rusa kutub bersaiz sebenar diperbuat daripada dawai dan cahaya yang menarik perhatian keluarga seperti usahawan Jeffrey Lazim untuk berhenti seketika, kagum dengan gabungan seni tradisi dan inovasi.

"Sangat menarik untuk melihat sesuatu seperti ini. Ia kurang berkilau tetapi lebih mengasyikkan. Saya mungkin akan datang semula pada waktu malam untuk melihat lampu-lampu ini," kata Jeffrey, 35, sambil merakamkan gambar anak-anaknya di ruang tamu hiasan Krismas yang lengkap dengan sofa, pokok Krismas dan longgokan hadiah.

Pada waktu malam, pusat beli-belah itu berubah menjadi sebuah tempat perlindungan bercahaya. Keluarga dan pasangan mengambil masa lebih lama, tertarik dengan kerlipan lampu ibarat bintang. Pintu gerbang, rusa dan pokok Krismas yang kelihatan sangat ajaib, dan pancaran lampu LED menjadi semakin terang pada waktu malam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan