BERITA TERGEMPAR   PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | 
 BELANJAWAN 2025 > BERITA

JKKK Diminta Guna Dana Sejati MADANI Untuk Majukan Komuniti – Fadillah

22/12/2024 04:59 PM

LUBOK ANTU (Sarawak), 22 Dis (Bernama) -- Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang memohon projek-projek di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) perlu fokus kepada usaha meningkatkan taraf sosial dan ekonomi komuniti setempat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata JKKK dalam satu daerah yang sama juga tidak harus memohon projek yang serupa untuk mengelakkan pertindihan dan persaingan yang tidak produktif.

“Saya mengharapkan janganlah semua memohon satu jenis projek yang sama … biarlah pelbagai dalam satu-satu daerah itu supaya ia boleh memberi manfaat yang lebih menyeluruh,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan SejaTi MADANI Daerah Lubok Antu di sini hari ini.

Beliau berkata semua permohonan projek akan melalui beberapa peringkat penilaian dengan pihak JKKK dapat berbincang dengan pihak pejabat daerah yang dapat menasihatkan mereka berkenaan projek-projek yang sesuai. 

“Ada jawatankuasa yang akan menilai, kemudian akan dibawa ke pejabat SDO (Pejabat Pembangunan Negeri) melalui ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri) dan di situlah yang akan meluluskan projek,” katanya.

Fadillah berkata setakat ini, sebanyak 1,124 JKKK telah memperoleh manfaat program SejaTi MADANI ini di Sarawak dengan mencatatkan nilai keseluruhan projek kira-kira RM100 juta melibatkan sektor pertanian dan makanan; jahitan dan kraf tangan; herba dan kesihatan; pelancongan dan hospitaliti; dan aktiviti hijau dan kitar semula.

“Tahun depan saya harap lebih ramai lagilah (pemohon) yang sedar tentang program ini untuk mula merancang projek mereka. Yang penting adalah yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat setempat, boleh mendatangkan pendapatan,” tambahnya.

Dalam majlis itu, beliau menyampaikan dana SejaTi MADANI berjumlah lebih RM720,000 kepada lapan JKKK di daerah Lubok Antu bagi pelaksanaan projek pertanian pintar sayur dan jagung, penternakan ikan dan ayam serta program pelancongan dan hospitaliti.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan