BELANJAWAN 2025 > BERITA

Wakil Malaysia Isi Dua Jawatan Tertinggi Kabaddi Asia

23/12/2024 05:01 PM

Daripada P. Vijian

PHNOM PENH, 23 Dis (Bernama) -- Dua pemimpin Persekutuan Kabaddi Malaysia (MKF) melebarkan sayap mereka apabila dipilih sebagai Naib Presiden dan Penolong Setiausaha Kabaddi Asia pada mesyuarat agung tahunan (AGM) berlangsung secara dalam talian semalam.

Presiden MKF Dr Paul Selvam Devadoss dilantik mengisi satu daripada kerusi Naib Presiden manakala Setiausaha MKF S Devanathan selaku Penolong Setiausaha.

Delegasi dari 14 negara Asia hadir pada AGM yang dijalankan secara dalam talian bagi memilih barisan kepimpinan baharu menjelang Piala Dunia Kabaddi di Wolverhampton, Walsall, Birmingham dan Coventry pada 17 hingga 23 Mac tahun depan.

Setiausaha Agung World Kabaddi S T Arasu pada mesyuarat berkenaan berkata beliau yakin badan eksekutif baharu ini akan membantu mengukuhkan sukan kabaddi di Asia.

“Asia adalah tempat lahir World Kabaddi dan Asia. Saya yakin Kabaddi Asia akan melihat perkembangan kabaddi di semua peringkat.

“Termasuk pengendalian kursus teknikal dan kejurulatihan untuk memperkasakan persekutuan kebangsaan dan mewujudkan kalendar kejohanan yang lebih mantap,” katanya.

Sheikh A Rahman Mubarak A H Al-Thani dari Qatar pula dipilih sebagai Presiden Kabaddi Asia dan secara automatik dilantik sebagai Naib Presiden World Kabaddi.

Selain Paul, turut dipilih sebagai Naib Presiden Kabaddi Asia ialah Wyman Tang (Hong Kong), Ashok Kumar (India) dan Anura Pathirana (Sri Lanka).

Maran Chakrapani dari Singapura dipilih Setiausaha Agung manakala Wang Tzu Wen dari Taiwan sebagai bendahari.

Jawatankuasa baharu Kabaddi Asia terdiri daripada Tayyab Gilani (Pakistan), Samiullah Mussaraf (Afghanistan), Shiva Sainju (Nepal), Abed Almonem (Palestin), dan Sok Ang (Kemboja).

Menurut Arasu, perbincangan turut diadakan bersama Persekutuan Kabaddi Seluruh India untuk menganjurkan Kejohanan Asia pada 2025.

Pada saingan Piala Dunia di England tahun depan, bagi kategori lelaki, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah England, Poland dan Cameroon.

Juara 2019, India pula diundi dalam Kumpulan C bersama China, USA dan Tanzania.

Bagi kategori wanita pula,Malaysia tidak mengambil bahagian.

 

Berikut undian untuk Piala Dunia 2025: 

Lelaki

Kumpulan A: England, Malaysia, Poland, Cameroon

Kumpulan B: Sri Lanka, Hong Kong, Scotland, Mesir

Kumpulan C: India, China, USA, Tanzania

Kumpulan D: Pakistan, Taiwan, Itali, Kenya

 

Wanita

Kumpulan A: England, Hong Kong, Poland, Tanzania

Kumpuan B: India, Mesir, Scotland, Kenya

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan