BELANJAWAN 2025 > BERITA

Anggota Polis Sempat Minta Tolong Sebelum Lemas - Rakan

23/12/2024 05:11 PM

PASIR SALAK, 23 Dis (Bernama) -- Allahyarham Koperal Muhammad Taufik Sayutin sempat meminta tolong daripada rakannya sebelum dihanyutkan arus deras ketika mandi di tali air pintu gerbang Changkat Lada, Kampung Gajah di sini semalam.

Rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kijai, 39, berkata sewaktu kejadian terdapat beberapa lagi rakan yang turut serta dan Allahyarham merupakan individu terakhir terjun ke dalam tali air berkenaan. 

“Selepas dia (Muhammad Taufik) terjun, Allahyarham timbul dan cuba berenang melawan arus untuk ke tepi, namun dia kelihatan penat.

“Dia cuba untuk datang (ke arah kawan-kawan) sebab saya baru naik ke tebing. Dalam melawan arus, (Allahyarham) penat dan saya turun ke tangga (dengar) dia kata ‘tolong aku’,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Felcra Changkat Lada di sini hari ini.

Pesara tentera itu berkata sewaktu Allahyarham terkapai-kapai, dia cuba untuk mencapai tangan mangsa, namun gagal sebelum rakan-rakan lain yang berada di lokasi kejadian terus terjun dan cuba mencari Muhammad Taufik.

Kijai berkata sebelum pulang ke Changkat Lada lagi, Allahyarham berhasrat untuk mandi di tali air di kampung berkenaan dan pada malam sebelum kejadian, Muhammad Taufik sekali lagi menyebutkan perkara berkenaan.

“Allahyarham sebut benda sama sahaja, sampai ada kata dengan kawan-kawan kalau kome (kamu semua) tak nak mandi tak apa lah, aku dengan anak,” katanya.

Kijai berkata sebelum mandi di tali air pada kira-kira 2 petang itu, Allahyarham bersamanya telah menghadiri majlis perjumpaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changkat Lada dan bermain bola sepak.

“(Semasa) main bola keadaan Allahyarham nampak macam biasa, (cuma)  prestasi dia tak macam kami kenal dulu yang aktif, sekarang malas hendak kejar bola, tetapi kami ingat dah tua dah, tak larat,” katanya.

Jenazah Allahyarham Muhammad Taufik selamat dikebumikan sekitar 1.10 tengah hari tadi di Tanah Perkuburan Islam Felcra Changkat Lada.

Allahyarham Muhammad Taufik meninggalkan balu Azlane Mat, 42, yang juga seorang anggota polis serta tiga anak lelaki berusia 15, 13, dan 8 tahun.

Semalam, media melaporkan Allahyarham Muhammad Taufik yang bertugas di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, lemas ketika mandi-manda bersama rakan-rakannya selepas dihanyutkan arus deras.

Mayat mangsa ditemukan pada 4.55 pagi di sekitar kawasan tebing pada jarak kira-kira tiga meter daripada Pusat Kawalan Bomba (PKB), selepas operasi mencari dan menyelamat digerakkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan