KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Enam buah kenderaan pacuan empat roda membawa lebih 15 sukarelawan terdiri daripada warga kerja Parlimen Malaysia memulakan konvoi ke Jeniang, Kedah hari ini bagi menyampaikan misi bantuan pasca banjir di sekitar kawasan berkenaan.
Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan misi bantuan yang digerakkan oleh Kelab Kebajikan dan Sukan Parlimen Malaysia (KESPA) itu akan menyampaikan barangan keperluan harian serta membantu membersihkan kediaman mangsa yang terjejas akibat banjir.
“Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Datuk Johari Abdul akan turun padang bersama-sama dengan Skuad Sukarelawan Parlimen Malaysia yang diketuai Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman.
“Pelaksanaan misi bantuan ini selaras dengan hasrat Parlimen Malaysia untuk “Merakyatkan Parlimen” melalui pendekatan turun padang serta menyantuni masyarakat melalui program dan aktiviti libat urus,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, perlepasan konvoi berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian (Pengurusan) Parlimen Malaysia Riduan Rahmat di perkarangan lobi Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial