BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kesetiaan Kriteria Utama Dalam Mencari Ketua Jurulatih Beregu Lelaki Negara - Subramaniam

23/12/2024 06:25 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Kesetiaan menjadi kriteria utama yang akan dipertimbangkan dalam pencarian ketua jurulatih badminton beregu lelaki negara yang baharu, kata Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk V. Subramaniam.

Beliau berkata semasa meneliti calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tan Bin Shen itu, mereka memerlukan seseorang yang mempunyai disiplin tinggi dan berdedikasi untuk membawa pemain badminton negara ke tahap lebih tinggi.

“Kita sedang dalam proses (mencari ketua jurulatih baharu), kami mahu mendapatkan calon itu secepat mungkin.

“Kami juga sedang menilai ramai jurulatih untuk disenarai pendek dan kami mahu melakukannya dengan teliti, itu sahaja. Memang ada perbincangan antara kedua-dua belah pihak, kita lihat siapa jurulatih yang paling sesuai,” katanya kepada pemberita selepas majlis lanjutan penajaan antara BAM dan minuman isotonik terkemuka 100PLUS, di sini hari ini.

Jumaat lepas, BAM mengumumkan Bin Shen akan meletakkan jawatan 13 Jan ini selepas menyertai badan induk itu pada Disember 2020.

Bekas pemain kebangsaan itu memainkan peranan penting dalam meningkatkan standard beberapa pasangan beregu lelaki negara, termasuk membantu Aaron-Wooi Yik merangkul gelaran dunia pertama Malaysia pada 2022.

Jurulatih berusia 40 tahun itu dilaporkan akan berkhidmat dengan pasukan kebangsaan Hong Kong, di bawah bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia Wong Choong Hann bermula Februari depan, bersama dua lagi jurulatih Malaysia iaitu Jeremy Gan dan Loh Wei Sheng.

Subramaniam ketika ditanya mengenai trend jurulatih kebangsaan yang kerap mencari peluang di luar negara berkata beliau tidak bimbang kerana perkara itu adalah sesuatu yang biasa berlaku, bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara-negara lain.

“Ini tidak bermakna BAM bukan tempat yang sesuai. Jika begitu, kenapa jurulatih asing datang ke sini? Kenapa mereka meninggalkan negara mereka? Itu tidak bermaksud negara mereka teruk. Semua orang mahu mencuba pengalaman baharu,” katanya.

Berdasarkan sistem kejurulatihan semasa, hanya Rosman Razak yang mengetuai bahagian beregu wanita merupakan jurulatih tempatan, manakala bahagian lain dipimpin jurulatih asing seperti Kenneth Jonassen dari Denmark bagi bahagian perseorangan dan Nova Widianto dari Indonesia (beregu campuran).

Antara jurulatih dari Malaysia yang kini berkhidmat dengan pasukan luar negara termasuk Lee Wan Wah di Jepun, Wong Pei Tty di Singapura dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin di Ireland.

Sementara itu, Subramaniam berkata beliau tidak mengetahui khabar angin mengenai kemungkinan pemergian ketua jurulatih perseorangan lelaki remaja negara Datuk Tey Seu Bock.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan