BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pulau Pinang Beri Tanah Kepada 129 Rumah Ibadat Bukan Islam Sejak 2018 - Chow

25/12/2024 12:46 PM

GEORGE TOWN, 25 Dis (Bernama) -- Sebanyak 129 Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) telah menerima tanah daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dari 2018 hingga tahun ini, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata langkah tersebut adalah tindakan konkrit untuk memastikan rumah ibadat bagi penganut agama lain turut diberi kemudahan dan ruang untuk berkembang dengan sokongan penuh daripada kerajaan negeri.

“Menerusi Manisfesto Perpaduan Kerajaan Negeri, peruntukan berjumlah RM10 juta juga disalurkan bagi memenuhi keperluan RIBI sehingga 2028.

“Kerajaan negeri sentiasa prihatin dan mengutamakan nilai saling sayang menyayangi dalam mengekalkan keharmonian beragama,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Krismas hari ini

Chow menegaskan pentadbirannya juga memberikan komitmen yang tidak berbelah-bahagi dalam menyediakan perkhidmatan dan kemudahan asas bagi membolehkan setiap individu mempraktik amalan serta kepercayaan masing-masing berteraskan Rukun Negara.

Katanya Penang Harmony Corporation (HARMONICO) yang ditubuhkan pada 2021 bagi mewujud dan memantapkan sistem pengurusan berkaitan hal ehwal bukan Islam di negeri itu merupakan bukti komitmen kerajaan negeri dalam perkara berkenaan.

Beliau turut menekankan bahawa kestabilan politik dan sosial adalah antara aspek yang sangat penting bagi menjamin kemampanan ekonomi, khususnya kepada para pelabur untuk bertapak di Lembah Silikon Timur itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan