BELANJAWAN 2025 > BERITA

Gagal Yakin Penaja Punca Sukar Dapat Tajaan - Hannah

25/12/2024 01:15 PM

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berpandangan industri sukan di Malaysia sebenarnya tidak berdepan masalah kekurangan penajaan sebaliknya kurang berjaya meyakinkan pihak yang berpotensi untuk menjadi penaja.

Beliau berkata  kegagalan itu antaranya berpunca daripada cadangan yang dihantar kepada pihak berkenaan turut memasukkan perkara-perkara tidak perlu.

"Kalau penaja bagi duit, mereka nak ia digunakan untuk pembangunan sukan dan tidak hendak lihat ia digunakan untuk bayar gaji atau guna untuk bukan-bukan.

"Sama seperti kita juga yang beri geran padanan sukan 30-40 juta setahun, kita ada buat penilaian senarai perbelanjaan mereka. Kadang ada dalam cadangan itu perkara yang kita rasa tidak perlu," katanya dalam siar pod SAMBANG di platform YouTube Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) semalam.

Dalam pada itu, Hannah menyifatkan pelepasan cukai sukan bernilai RM1,000 meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan menjadi pengubah keadaan industri sukan negara.

Malah, beliau gembira apabila pelepasan cukai itu diperluas kepada golongan ibu bapa pembayar cukai bermula tahun hadapan.

"Jika anda pembayar cukai, bukan sahaja anak bakal mendapat manfaat ini tetapi juga ibu bapa, datuk nenek mereka.

"Sebab kita nak ada sukan untuk semua golongan dan ini pengubah keadaan yang kita perjuangkan," katanya.

Sementara itu, ditanya berkenaan perancangan bagi 2025, Hannah berkata beliau mahu memberikan tumpuan kepada pembangunan belia dan Rakan Muda.

Dalam masa sama, beliau juga akan melancarkan sebuah taska di Kuala Lumpur Sport City bagi golongan atlet yang mempunyai anak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan