BELANJAWAN 2025 > BERITA

TVET Bukan ‘Jalan Mati’, Laluan Kerjaya Berpotensi Tinggi

26/12/2024 10:07 AM

SHAH ALAM, 26 Dis (Bernama) -- Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak seharusnya dianggap sebagai 'jalan mati' bagi individu yang berhasrat mengembangkan kerjaya mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Sebaliknya, ia merupakan laluan terbuka bagi mereka yang berusaha untuk meningkatkan taraf kehidupan

Kemahiran yang diperoleh dalam bidang teknikal bukan sekadar terhad kepada membaiki enjin kereta yang bermasalah, tetapi juga berperanan penting dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran, yang secara tidak langsung membantu menggerakkan ekonomi negara.

Ketua Operasi Selepas Jualan Bermaz Auto Berhad (B Auto) Datuk Shamsuddin Amran berkata menerusi TVET, kerajaan kini berada di landasan yang tepat dalam memperkasakan program tersebut agar selaras dengan keperluan dan permintaan industri

Menurutnya, ini dilaksanakan melalui pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), yang merupakan satu inisiatif di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Shamsuddin yang juga Pengerusi Kumpulan TVET Pilihan Kerjaya Utama berkata, sejak syarikatnya memulakan program SLDN 14 tahun lalu, mereka tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada tenaga kerja mahir dari luar negara.

Program yang dikendalikan oleh BermazAuto Training School telah berjaya melahirkan tenaga kerja mahir dalam tiga bidang pengajian yang ditawarkan, iaitu Mechatronics, Body and Paint, serta Mekanik.

“Kami telah melahirkan lebih daripada 1,000 juruteknik, dan 90 peratus tenaga kerja di B Auto merupakan hasil dari program SLDN tersebut.

“Dengan kemahiran yang mereka peroleh, mereka bukan sahaja bekerja sebagai juruteknik, tetapi ada di antara mereka yang berpeluang untuk berkhidmat sebagai jurutera, pembantu pengurus, dan bahkan pengurus

“Saya mendapati silibus atau kurikulum dalam SLDN ini amat cemerlang dan telah disahkan oleh rakan kongsi kami, seperti Mazda Corporation Japan dan Xpeng. Saya berbesar hati untuk meneruskan program SLDN ini dengan sokongan KESUMA,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama, baru-baru ini

Shamsuddin berkata pencapaian ini menangkis persepsi bahawa TVET hanya untuk sektor pekerjaan 3D (kotor, bahaya, dan sukar). Sebaliknya, jika seseorang itu komited, mereka mempunyai peluang untuk mencapai peringkat tertinggi dalam pengurusan sesebuah syarikat.

Beliau sendiri adalah seorang daripada individu yang menceburi bidang TVET sejurus selepas tamat tingkatan lima dalam bidang automotif pada 1984, dan kini beliau menduduki jawatan dalam pengurusan tertinggi syarikat dan berharap lebih ramai belia akan menceburi TVET, seiring dengan usaha kerajaan untuk menjadikannya sebagai agenda besar negara.

“Menerusi peruntukan Belanjawan 2025 yang diumumkan baru-baru ini, sebanyak RM7.5 bilion telah diperuntukkan untuk TVET. Saya melihat ini sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam memperkasakan TVET,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsuddin mengakui terdapat cabaran dalam meneruskan program tersebut, khususnya apabila terdapat institusi TVET yang tidak melaksanakan SLDN akibat kos yang tinggi, termasuk keperluan untuk menyediakan tenaga pengajar yang kompeten serta alat bantuan latihan teknikal yang seiring dengan kemajuan dalam bidang tertentu.

“Landskap automotif kini telah berubah, di mana pengajaran tidak lagi tertumpu kepada sistem enjin lama. Sebaliknya, kita kini beralih kepada enjin kenderaan tanpa pemandu dan kenderaan elektrik (EV).

“Ia merupakan cabaran besar bagi industri untuk mendapatkan barangan tersebut kerana harganya yang sangat tinggi. Ini juga menjadi cabaran bagi pusat-pusat TVET di Malaysia,” katanya.

Namun, Shamsuddin menegaskan bahawa walaupun menghadapi pelbagai cabaran, Malaysia adalah antara negara dengan sistem struktur TVET terbaik di kawasan ini, dan lepasan pelajar dalam bidang tersebut mampu memperoleh pekerjaan di luar negara, termasuk di Jepun dan Arab Saudi.

SLDN adalah satu kaedah latihan yang berorientasikan industri, yang dijalankan melalui kerjasama antara syarikat dan institusi latihan.

Melalui sistem ini, latihan dilakukan dalam dua situasi pembelajaran, iaitu di tempat kerja sebenar (syarikat), melibatkan 70 hingga 80 peratus latihan praktikal, dan di pusat latihan, meliputi 20 hingga 30 peratus pembelajaran teori.

Dalam konteks ini, seorang perantis bidang Mechatronics di BermazAuto Training School, R. Asswin, 19, berkata TVET adalah pembelajaran yang menyeronokkan kerana ia bersifat ‘menggembirakan’ dan tidak hanya terfokus pada teori dan amali semata-mata.

Beliau, yang menceburi bidang ini kerana minat mendalamnya terhadap automotif, bercadang untuk menambah ilmu pengetahuan dengan meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi sebelum memasuki alam pekerjaan.

Bagi Nuraleeya Natasha Hamirul Mizam, 19, seorang perantis program Body and Paint, pengalaman belajar di TVET membolehkan dia mempelajari kaedah kerja yang sebenar mengikut piawaian industri, termasuk teknik mengetuk dan mengecat badan kereta dengan betul.

Menurut Elsworth Lo Zhen-U, 20, ilmu yang diperoleh sepanjang tiga tahun di BermazAuto Training School membolehkannya menjadi tenaga pengajar di pusat tersebut dalam tempoh empat bulan lalu.

“Saya mula belajar pada 2021, dan sepanjang tempoh pengajian, penekanan terhadap disiplin kerja sangat ditekankan. Setiap bentuk kerja perlu dilaksanakan dengan teratur dan kemas.

“Tiga tahun pengajian ini telah mengubah pandangan saya terhadap TVET, terutama kerana ia memberikan nilai tambah dan kemahiran yang boleh dimanfaatkan dalam dunia pekerjaan,” katanya

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan