BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perspektif: 20 Tahun Berlalu, Tsunami 2004 Ajari Kita Yang Mana Perlu

26/12/2024 12:02 PM
From: Nina Muslim

Pembayang pertama bahawa keadaan sangat teruk di Banda Aceh, Indonesia ialah ketiadaan perkhabaran dari sana.

Pembayang kedua, permintaan agar disegerakan penghantaran beg mayat.

Hari itu bertarikh 28 Dis 2004, dua hari selepas kejadian gempa bumi dasar laut dengan kekuatan 9.1 pada skala Richter (semakan semula laporan awal 6.4), berlaku 160 kilometer di perairan pantai barat Sumatera Utara, di mana terletaknya Banda Aceh. Goncangan bumi yang berlaku pada 7.58 pagi waktu tempatan itu mencetuskan tsunami setinggi 30 meter, memusnahkan petempatan berhampiran pantai di pinggir Lautan Hindi. 

Pada petang 28 Dis itu, saya berada di Lapangan Terbang Subang, bersedia untuk menaiki penerbangan bersama-sama dengan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) Malaysia yang pertama ke Banda Aceh bagi memberikan bantuan kepada mangsa. Saya mengikuti mereka kapasiti sebagai wartawan Bernama TV pada masa itu.

pic-2

Sebelum ke sana, saya membaca sebanyak mungkin berita tentang tsunami itu, namun satu perkara saya sedari, iaitu terlalu sedikit laporan berita yang datang dari Banda Aceh, kota terpadat paling dekat dengan pusat gempa tersebut. Kebanyakan laporan datang dari Lhokseumawe, sebuah bandar pelabuhan di tenggara Banda Aceh, dan sebahagian besar berita pula hanya menceritakan tentang banjir dan penduduk lari menyelamatkan diri daripada ombak besar.

Di Banda Aceh sendiri, tidak ubah seperti padang jarak padang tekukur, hampir segalanya musnah dan mana mungkin penduduk yang terselamat dapat menghantar keluar berita kepada masyarakat luar.

Masih dalam kegelapan tentang situasi sebenar di sana, saya berasa agak terkejut dan kurang senang apabila diberitahu oleh Timbalan Ketua ERT Laksamana Madya (ketika itu Laksamana Pertama) Datuk Abdul  Hadi A. Rashid bahawa kerajaan Indonesia meminta agar beg mayat diutamakan. 

Apabila tiba di Medan, Indonesia, kami tidak diberikan kebenaran untuk memasuki Banda Aceh hinggalah keesokan harinya. Kami merupakan pasukan bantuan antarabangsa pertama yang tiba. Selepas memasuki Banda Aceh, barulah jelas kenapa beg mayat diutamakan.  

Di tengah-tengah pembahagi jalan menuju pusat bandar, kelihatan mayat seorang lelaki dalam keadaan terlentang. Kedua-dua belah tangannya terangkat seolah-olah cuba menahan rasuk daripada menimpanya, sementara kaki pula dalam posisi seolah-olah sedang menunggang motosikal. 

Hakikat mayat itu terbiar begitu sahaja, walhal kereta, lori, motosikal dan orang ramai melewatinya seolah-olah tiada apa-apa, cukup memeranjatkan. Namun, kemudian kami nampak satu lagi mayat dan satu lagi, dan selepas itu berpuluh-puluh lagi, hingga saya sudah tidak terhitung jumlahnya dan kesemua mayat tersebut menjadi sebahagian daripada latar belakang kemusnahan yang kami saksikan.

pic-3

Kebanyakan mayat terbabit terbaring di tepi jalan dengan sesetengahnya bertutup, yang lain pula terbiar begitu sahaja dan sesetengah lagi tersangkut di tiang-tiang. Sebuah bot nelayan terdampar di atas sisa sebuah rumah yang ranap dengan hanya sebahagian dinding masih tegak.   

“Kami terkejut. Gambaran awal yang kami dapat pada masa itu banyak yang terkorban, iaitu sekitar 5,000 orang,”  kata  Wan Md Razali Wan Ismail, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam baru-baru ini. Pada misi 2004 itu beliau mengetuai MUST (Multi Skill Team), iaitu pasukan elit bomba.

Ketika kami menghampiri Pusat Bantuan Gempa Bumi dan Tsunami Provinsi Aceh, kami nampak jentera korek kaut sedang menggali lubang-lubang besar, dan berdekatan jentera itu kelihatan deretan beg-beg berisi mayat yang sedia untuk dikebumikan.

“Nampaknya kita perlukan lebih banyak beg mayat,” getus hati saya.

Tsunami Asia 2004 yang berlaku genap 20 tahun lalu hari ini, merupakan satu daripada bencana alam paling dahsyat dalam lipatan sejarah dan terburuk di abad ke-21.

Keseluruhannya 14 negara terjejas termasuk Malaysia, Thailand dan Somalia. Angka kematian rasmi merentasi rantau dianggar sekitar 275,000 orang termasuk yang dilaporkan hilang. Indonesia memuktamadkan angka kematian rakyatnya sebagai lebih 167,000 orang dan lebih 37,000 dilaporkan hilang, hakikat yang tidak memeranjatkan pasukan ERT Malaysia.

“Saya masih ingat lagi (mayat di bawah timbunan) yang dibawa arus tsunami itu sendiri. Memang begitu menyedihkan,” kata Wan Razali.

Ahli pasukan masih berduka dengan jumlah korban yang begitu besar. Mereka beritahu saya apa yang mereka saksikan di Aceh itu tidak ada tandingan hingga sekarang. Kata mereka, kadangkala mereka terfikir jumlah nyawa yang dapat diselamatkan jika mereka tiba lebih awal, atau jika mangsa diberitahu lebih awal tentang ombak gadang yang menghampiri sejurus selepas bumi mereka bergegar. 

pic-4

 

LIMA BELAS MINIT 

Pakar menganggarkan ombak gadang itu melanda Banda Aceh kira-kira 15 minit selepas kejadian gempa bumi dasar laut tersebut. Berdasarkan perbualan saya dengan penduduk setempat pada masa itu, menjadi satu kebiasaan buat mereka untuk keluar dari bangunan dan menuju kawasan lapang, di mana mereka menunggu gegaran berhenti. Kata mereka, tindakan itu bertujuan mengelakkan mereka daripada ditimpa bangunan runtuh.

Barangkali, kerana itu jugalah ramai yang dihanyutkan ombak, Mereka tidak tahu mahupun diberitahu agar menggunakan tempoh 15 minit yang ada itu untuk lari ke kawasan tinggi. Rata-rata penduduk di sana, malah di tempat lain juga, tidak tahu bahawa air laut yang menyusut bermakna tsunami sedang terbentuk.

Pada 2004, tidak banyak data yang dapat memberitahu kerajaan tentang tsunami. Ketika itu, kebanyakan mereka yang tahu tentang tsunami menyangkakan kejadian tersebut hanya berlaku di Jepun. Pada masa itu juga pemantauan dan sistem amaran hanya bertumpu di Lautan Pasifik.

Satu daripada pengajaran yang diberikan oleh tsunami 2004 ialah pewujudan sistem antarabangsa bagi memantau aktiviti seismos dan lautan. Sejak tragedi itu, pelbagai kerajaan membangunkan maklumat tsunami global dikenali sebagai Deep-Ocean Assessment and Reporting of Tsunamis (DART). Sistem itu kini mempunyai 74 boya di lautan, menghantar data dan amaran kepada negara terjejas sebaik sahaja ia mengesan sebarang pergerakan luar biasa, bermakna penduduk mempunyai peluang untuk menyelamatkan diri ke tempat tinggi. 

pic-5

Pada hari tsunami 2004 melanda, 81 orang di Malaysia terkorban, melibatkan Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor. Sekalipun jarak Malaysia dan Aceh tidak jauh, Sumatera yang menerima sebahagian besar impak tsunami menjadi pelindung Semenanjung Malaysia, yang mungkin juga menjadi penyebab wujudnya percanggahan dalam kesiapsiagaan menghadapi bencana tsunami antara kedua-dua negara.

“Kita cenderung untuk lupa tentang bencana bermagnitud besar dengan kekerapan tinggi di kawasan pantai,” kata Pengarah Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana, Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun Dr Khamarrul Azahari Razak.

Katanya, kedua-dua negara kembali membangunkan kawasan pantai, iaitu sesuatu yang dibimbangi beliau. Akan tetapi, tidak seperti Malaysia, beliau berkata pembangunan kawasan pantai di Sumatera dilakukan dengan struktur binaan yang lebih baik, berdaya tahan gegaran.  

Tambah beliau, Banda Aceh juga menyediakan struktur bangunan menegak, dibina melepasi aras banjir sebagai pusat pengungsian jika tsunami berulang. Bagaimanapun katanya, di Malaysia tidak banyak bangunan awam dibina di kawasan yang cukup tinggi.

“Kita abaikan potensi impak tsunami di kawasan pantai… khususnya di pantai timur Sabah,” katanya.  

 

AKIBAT 

Selain daripada melabur dalam teknologi baharu bagi pengesanan awal dan sistem amaran, pembangunan penyelesaian tidak berbentuk teknologi juga sama penting.

Banyak kisah dikongsikan tentang tsunami 2004 dan satu daripadanya ialah berkenaan penduduk Pulau Simeulue di barat daya Banda Aceh, terletak hampir-hampir di atas pusat gempa. Kecuali tiga ke lima orang penduduk, yang lain semuanya terselamat kerana komuniti itu tahu tentang “smong” (bahasa mereka bagi tsunami), ombak besar yang menyusuli gempa bumi. Pengetahuan itu diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Mereka tahu yang mereka perlu ke kawasan bukit sebaik ternampak air laut menyusut.   

“Mereka semua selamat. Sukar untuk dipercayai. Mereka... (anda boleh tengok sendiri) bagaimana pengetahuan turun-temurun ini memainkan peranan penting (dalam menyelamatkan mereka),” kata Dr Khamarrul yang juga Ahli Jawatankuasa MERCY Malaysia.

Semasa tsunami melanda Aceh, wilayah itu sedang mengharungi perang saudara, melibatkan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dan kerajaan Indonesia. Justeru, ada ketika isu keselamatan mengekang usaha pencarian mangsa dan penyaluran bantuan kemanusiaan.

Namun, bukan itu yang paling dirisaukan oleh keluarga pasukan ERT Malaysia.

pic-6

“Isteri dan ibu bapa saya risaukan keselamatan saya sebab semasa operasi kami di Aceh, kami lalui gegaran susulan enam hingga tujuh kali hampir setiap hari,” kata Mohd Hazrumi Halimi, pegawai kanan di Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Selangor.

Gegaran susulan, sesetengahnya berukuran 6.9 pada skala Richter, direkodkan selama berminggu-minggu di wilayah itu selepas gempa yang pertama. Saya akui, pada kebanyakan masa saya tidak sedar akan gegaran susulan itu. Namun saya tahu berdasarkan reaksi orang lain, misalnya apabila pegawai tentera Indonesia berlari meninggalkan bangunan mereka di lapangan terbang dalam keadaan panik, bimbang sekiranya gempa yang pertama dulu telah melemahkan struktur bangunan. 

Hampir setahun selepas bencana itu, GAM dan Indonesia meratifikasi Perjanjian Damai Aceh yang menyaksikan Jakarta membenarkan pemerintahan separa autonomi di wilayah tersebut.

 

WANITA

Semasa bencana, ada aspek terlepas pandang dan antara yang paling ketara ialah kegagalan bantuan kemanusiaan mengambil kira keperluan khusus wanita, iaitu kebersihan ketika haid.

Terdapat banyak laporan bahawa tidak banyak bantuan yang menyertakan tuala wanita untuk kaum Hawa yang terselamat. Disebabkan oleh kemusnahan rumah dan kedai, bekalan tuala wanita sukar diperoleh di Banda Aceh.

pic-7

Wan Razali dan Dr Khamarrul memberitahu Bernama perkara itu membuka mata mereka. Kini, pihak berkuasa dan badan amal mula mengambil kira keperluan harian mangsa apabila menyediakan bungkusan bantuan kepada mangsa, tidak lagi terhad kepada pakaian, makanan dan ubat-ubatan.

“Pengajaran yang diperoleh daripada tsunami 2004… bukan hanya (tuala wanita) tetapi juga bagaimana mereka menangani keperluan keagamaan. Saya sedar mereka (misi menyelamat sekarang) mengambil kira keperluan dan kehendak bukan hanya wanita dan kanak-kanak tetapi juga orang tua,” kata Dr Khamarrul.

Sememangnya semua itu berita baik. Ketika menyertai ERT pada 2004, saya satu-satunya wanita dan mungkin turut berada dalam keadaan terdesak seperti kaum Hawa di Banda Aceh pada waktu itu, namun mujurlah saya tidak lama di sana. Pasukan itu meninggalkan Aceh pada 7 Jan 2005.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan