BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kepolisan Komuniti Penting Bantu Tangani Ancaman Pornografi Kanak-kanak - Pakar

26/12/2024 11:46 AM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Kepolisan komuniti atau community policing merupakan pendekatan penting dalam membantu menangani isu pemilikan dan penggunaan bahan terlarang di negara ini, termasuk kandungan pornografi yang melibatkan kanak-kanak.

Pakar Pengurusan Perkhidmatan Teknologi Maklumat di Pertama Digital Berhad Dr. T. Sashi Kumar berkata pergantungan semata-mata kepada pihak berkuasa atau agensi tertentu tidak mencukupi untuk menangani masalah ini secara berkesan.

“Kita perlu menggabungkan kepakaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), CyberSecurity Malaysia, serta kepolisan komuniti yang kini semakin relevan.

“Apabila komuniti yang menggunakan internet menyedari kewujudan sumber atau saluran yang menyebarkan bahan terlarang ini, perlu ada mekanisme untuk mereka membuat laporan atau memberikan maklumat, supaya pengurusan sumber risikan menjadi lebih berkesan,” katanya kepada Bernama.

Sashi Kumar turut menekankan bahawa pemilikan dan penggunaan kandungan pornografi kanak-kanak kini membimbangkan, kerana sesiapa sahaja boleh mengakses bahan ini melalui pelbagai saluran, termasuk platform bukan arus perdana seperti dark web.

Beliau menjelaskan bahawa saluran tersebut sukar dipantau secara komprehensif kerana ia berada di luar radar penguatkuasaan pihak berkuasa.

“Oleh itu, kita perlu mengubah pendekatan pemantauan terhadap pemilikan dan penggunaan video ini. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada kaedah tradisional seperti laporan atau penguatkuasaan biasa.

“Sebaliknya, kita perlu menggunakan perisikan mendalam untuk mengenal pasti punca bahan terlarang ini disimpan dan disebarkan,” katanya.

Pada Selasa, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan seramai 13 lelaki tempatan, termasuk seorang warga emas, ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan seksual secara dalam talian melibatkan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dalam serbuan di enam negeri.

Pemeriksaan ke atas peranti yang dirampas di kediaman semua suspek berusia antara 20 hingga 74 tahun menemukan kira-kira 40,000 bahan CSAM dan bahan pornografi.

Mengulas mengenai keselamatan siber, Sashi Kumar berkata cabaran utama kini ialah keupayaan pihak penggodam yang lebih maju berbanding teknologi dan perisian keselamatan sedia ada, selaras perkembangan pesat teknologi anti-keselamatan (anti-security).

“Persekitaran penggodaman dan kompromi keselamatan sangat dinamik. Syarikat perlu segera berkongsi maklumat mengenai jenis serangan baharu yang mereka hadapi, supaya langkah pencegahan boleh diambil dengan lebih pantas.

“Selain itu, laporan kepada pihak berkuasa seperti CyberSecurity Malaysia juga penting untuk memastikan maklumat terkini dapat dikongsi dengan semua pihak berkaitan,” katanya.

Sashi Kumar turut menyambut baik penguatkuasaan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854), yang menurutnya menyediakan asas kukuh untuk menangani pelbagai isu keselamatan siber seperti penggodaman, buli siber, dan jenayah penipuan (scam).

“Akta Keselamatan Siber 2024 merupakan undang-undang yang baik untuk menangani masalah sedia ada. Dengan penguatkuasaan yang lebih ketat, saya percaya kita dapat mengekang isu-isu berkaitan keselamatan siber,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan