BELANJAWAN 2025 > BERITA

DUN Melaka: Tempat Duduk ADUN Rembia Diubah

27/12/2024 12:10 PM

MELAKA, 27 Dis (Bernama) -- Tempat duduk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis yang sebelum ini di blok kerajaan diubah ke blok pembangkang, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Ibrahim Durum.

Ibrahim berkata langkah itu diambil selepas beliau meneliti beberapa perkara mengenai penyertaan Muhammad Jailani ke dalam PAS susulan pengumuman Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 16 Julai. 

Beliau berkata pihaknya telah mengutus surat kepada Takiyuddin untuk mendapatkan pengesahan mengenai perkara itu namun sehingga kini masih tidak menerima sebarang balasan.

“Pengakuan ADUN begitu samar yang mengatakan dirinya ahli PAS dan hanya ini bukti untuk saya (membuat keputusan),” katanya pada sidang DUN Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Ibrahim berkata dengan perkembangan terbaharu itu, jumlah ADUN yang menyokong kerajaan kini 25 manakala pembangkang tiga. 

Muhammad Jailani yang mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Rembia semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021 dalam pertandingan lima penjuru dengan majoriti 860 undi.

Pada Julai tahun lepas, UMNO menggantung keahlian Muhammad Jailani selama enam tahun kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap parti dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi PRK DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan