BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Hantar Pasukan Konsular Susulan Kemalangan Bas Di Norway 

27/12/2024 12:40 PM

PUTRAJAYA, 27 Dis (Bernama) -- Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Norway untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kemalangan bas berhampiran Tasik Åsvatnet pada 26 Dis yang dilaporkan melibatkan penumpang dari beberapa negara termasuk Malaysia. 

Kementerian yang turut dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan bahawa laporan awal menunjukkan penumpang bas terdiri daripada pelancong asing dari China, Singapura, India, Belanda, Malaysia, Sudan Selatan, Perancis, dan Ukraine. 

“Pasukan konsular telah dihantar untuk memberikan bantuan serta sokongan segera kepada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden ini,” menurut kenyataan kementerian. 

Wisma Putra menzahirkan kebimbangan terhadap kemalangan bas yang berlaku kira-kira 1.30 tengah hari waktu tempatan berhampiran Tasik Åsvatnet, Norway.

Kejadian berlaku dalam keadaan cuaca buruk termasuk salji tebal dan angin kencang, menyebabkan bas hilang kawalan lalu terbabas. 

Daripada 58 penumpang, tiga kematian dilaporkan sementara empat lagi cedera parah dan kini dirawat di Hospital Stokmarknes. 

Pihak berkuasa Norway berjaya memindahkan semua penumpang yang terselamat, meskipun usaha menyelamat pada peringkat awal menghadapi cabaran akibat cuaca buruk.

Maklumat lanjut mengenai insiden ini dijangka dikeluarkan oleh pihak berkuasa Norway pada 27 Dis waktu tempatan. 

“Perkembangan terkini akan dimaklumkan sebaik sahaja maklumat tambahan diperoleh,” menurut Wisma Putra. 

Untuk sebarang bantuan konsular, Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm boleh dihubungi di alamat Karlavägen 37, 114 31 Stockholm, Sweden atau melalui panggilan telefon di +46 8440 8400 (pertanyaan umum) / +46 73 536 9152 (di luar waktu bekerja & hujung minggu) atau emel di mwstockholm@kln.gov.my. 

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan