PUTRAJAYA, 27 Dis (Bernama) -- Selepas penganjuran terakhir pada 2019, Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU2024) kini kembali dengan konsep futuristik bagi edisi kelapan yang bermula hari ini hingga 31 Dis, dengan menyasarkan kehadiran sejuta pengunjung.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud berkata mengangkat tema "LAMPU2024 –Menerangi Masa Depan", objektif penganjuran festival itu bertujuan mempromosikan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa melalui penganjuran festival seni cahaya dan teknologi yang unik.
Beliau berkata ia juga meningkatkan keupayaan Putrajaya sebagai bandar pintar melalui penggunaan teknologi canggih dalam penganjuran acara berskala besar.
"LAMPU2024 turut dijadikan medan bagi menonjolkan Pelan lnduk Pencahayaan Putrajaya dengan memanfaatkan seni bina ikonik bangunan di Putrajaya," katanya kepada media selepas majlis pembukaan festival itu di sini hari ini.
Fadlun berkata penganjuran festival itu juga sekali gus dapat menyumbang kepada ekonomi tempatan dengan menyediakan platform kepada peniaga makanan, trak makanan dan pempamer untuk mempromosikan produk masing-masing.
LAMPU2024 meneruskan legasi dengan mengetengahkan persembahan Pemetaan Cahaya Mega ke fasad bangunan Istana Kehakiman, yang menggunakan 16 projektor berbanding 12 projektor sebelum ini, bagi menghasikan kualiti visual dan teknologi pemetaan yang lebih canggih.
Sebanyak lima segmen pemetaan cahaya akan dipersembahkan setiap malam dengan setiap segmen berdurasi 30 minit.
Istimewa bagi edisi kali ini, reka bentuk visual telah mendapat sentuhan pereka dari Itali, iaitu Michele Pusceddu dan Antaless Visual Design, selain rekaan anak tempatan.
Selain itu, aktiviti yang dijangka menarik perhatian pengunjung ialah perarakan kereta berhias yang merupakan komponen persembahan baharu untuk tahun ini dan LAMPU2024 Gaming Fest yang diadakan khas bagi peminat e-sukan dan permainan konsol.
PPj mengenakan caj minimum bagi tiket masuk LAMPU2024 berharga RM5 untuk dewasa dan warga emas, RM2 untuk kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun dan percuma bagi kanak-kanak berumur bawah tujuh tahun dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Selain tiket masuk, komponen berbayar yang lain ialah LAMPU2024 Gaming Fest dengan harga RM5 dewasa dan percuma untuk kanak-kanak.
Turut dijual tiket masuk secara kombo bagi LAMPU2024 dan Gaming Fest dengan harga RM8 sahaja bagi dewasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial