BELANJAWAN 2025 > BERITA

Terbuka Malaysia 2025: Tiada Tekanan, Tiada Keseronokan, Kata Yogendran

28/12/2024 10:43 AM

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Tekanan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan bagi mana-mana pemain badminton, lebih-lebih lagi apabila bertanding di gelanggang sendiri, seperti dalam kejohanan Terbuka Malaysia 2025 yang akan berlangsung bulan depan, kata jurulatih perseorangan lelaki negara, K. Yogendran.

“Tiada tekanan, tiada keseronokan. Tekanan tetap ada, apa yang saya pesan kepada pemain adalah untuk menikmati saat tersebut,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini.

Beliau menekankan kepentingan untuk menunjukkan semangat juang di gelanggang, kerana ia lebih penting daripada segala-galanya.

Walaupun Yogendran, 42, tidak menetapkan sasaran khusus dalam kejohanan Terbuka Malaysia, namun beliau kekal optimis bahawa keputusan yang baik akan diperoleh sekiranya pemain-pemainnya melaksanakan strategi dengan berkesan.

“Saya tidak menyasarkan pusingan pertama, pusingan kedua, atau apa-apa yang khusus, tetapi jika kita melakukan perkara yang betul, keputusan akan datang dengan sendirinya. Sasaran saya adalah agar pemain-pemain masuk ke gelanggang dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Bekas pemain negara itu juga berharap agar pemain badminton tempatan dapat mengakhiri kemarau gelaran negara pada kejohanan pembukaan musim yang dijadualkan di Axiata Arena dari 7 hingga 12 Jan depan.

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, merupakan pemain Malaysia terakhir yang memenangi gelaran Terbuka Malaysia pada tahun 2018.

Kejohanan Super 1000 menawarkan jumlah hadiah wang sebanyak USD1.45 juta (kira-kira RM6.48 juta).

Sementara itu, Yogendran menyambut baik kedatangan Kenneth Jonassen dari Denmark sebagai ketua jurulatih perseorangan yang baharu, sambil menyatakan keyakinan bahawa kepimpinannya akan membantu membentuk skuad yang kuat dan berupaya bersaing untuk gelaran utama pada masa hadapan.

Jonassen, bekas pemain antarabangsa itu akan memulakan tugasnya pada 4 Jan, dengan kontrak selama empat tahun yang berlangsung hingga 2028.

Jurulatih berusia 50 tahun itu memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan besar pemain perseorangan lelaki nombor empat dunia, Viktor Axelsen, termasuk memenangi gelaran Kejohanan Dunia pada 2017 dan pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan