MUAN (Korea Selatan), 29 Dis (Bernama-Yonhap) -- Kerosakan pada fungsi gear pendaratan dipercayai menjadi punca pesawat Jeju Air terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan pada Ahad ketika cuba melakukan pendaratan cemas selepas percubaan pendaratan pertama gagal, lapor Agensi Berita Yonhap memetik kenyataan pihak berkuasa.
Pesawat yang membawa 181 penumpang dari Bangkok, cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan pada 9.07 pagi sebelum ia tergelincir dari landasan dan melanggar pagar, mengakibatkan sekurang-kurangnya 28 maut dan mencederakan yang lain.
Pihak berkuasa lapangan terbang memaklumkan bahawa pesawat itu cuba melakukan pendaratan cemas kerana masalah pada gear pendaratan selepas percubaan pertamanya gagal.
Namun, pesawat malang itu dilaporkan gagal mengurangkan kelajuannya sehingga di hujung landasan dan melanggar struktur di bahagian luar lapangan terbang, menurut pihak berkuasa.
Nahas itu menyebabkan kerosakan teruk pada pesawat, sehingga mencetuskan kebakaran.
Saksi mendakwa terdapat tanda-tanda bahawa gear pendaratan pesawat seperti tayar tidak diaktifkan, yang mungkin mendorong percubaan pendaratan cemas, dengan perlanggaran burung dipercayai menjadi punca kerosakan.
-- BERNAMA-YONHAP
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial