SINTOK, 29 Dis (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan.
MoU itu ditandatangani Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dan Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan di sini hari ini.
Abdul Fattah berkata kerjasama itu kesinambungan kepada MoU sebelum ini yang berakhir pada 21 Sept 2023 yang telah membawa manfaat kepada ANGKASA, khususnya dalam meningkatkan keupayaan dan kompetensi pengurusan melalui program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).
“Sepanjang tempoh kerjasama yang lalu, seramai 47 warga ANGKASA telah ditaja sepenuhnya untuk mengikuti program MBA di UUM. Alhamdulillah mereka semua berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang dan ini satu pencapaian amat membanggakan.
“Melalui usaha yang diterajui Pusat Kecemerlangan ANGKASA dan Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) UUM, kita meneruskan kerjasama strategik ini yang pasti akan membawa impak besar kepada pembangunan modal insan dalam landskap gerakan koperasi negara.
“UUM adalah sebuah institusi pengajian tinggi berprestij, dapat menyediakan platform untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam bidang pengurusan koperasi, perniagaan, dan kewangan. ANGKASA boleh memanfaatkan kepakaran akademik dari UUM bagi meningkatkan kecekapan pengurusan koperasi di bawah naungan kami,” katanya.
Abdul Fattah berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani MoU itu di EDC-UUM di sini.
Selain itu, ANGKASA juga akan memperluas skop kerjasama strategik kepada bidang lain seperti Cooperative Leadership Programme, projek tanaman cendawan dan kerjasama dalam bidang penyelidikan berkepentingan.
Beliau berkata ANGKASA yang memayungi lebih 16,000 koperasi dengan keanggotaan seramai 7.2 juta seluruh negara perlu mempersiapkan kepimpinan dan warga kerja yang mempunyai kompetensi tinggi bagi memacu kejayaan koperasi.
Sementara itu, Mohd Foad berkata UUM mengalu-alukan kerjasama berkenaan dalam usaha mengukuhkan lagi ilmu pengetahuan berkaitan pemasaran, tadbir urus korporat, keusahawanan dan penyelidikan.
“Beberapa latihan ANGKASA telah dijalankan dengan jayanya melibatkan pegawai eksekutif pengurusan dan pentadbiran dengan kepakaran yang ada di pihak UUM, program latihan seperti ini mampu meningkatkan kemahiran staf ANGKASA dalam bidang masing-masing ke tahap lebih tinggi.
“Usaha ini diharap menjadi model transformasi koperasi, memacu kemajuan sosioekonomi negara dengan lebih mampan dan inklusif,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial