BELANJAWAN 2025 > BERITA

Li Jane Bersemangat Tinggi Hadapi Cabaran Boling Piala Dunia

01/01/2025 11:26 AM

PETALING JAYA, 1 Jan (Bernama) -- Pemain boling wanita negara Sin Li Jane bersedia untuk meneruskan prestasi cemerlangnya pada tahun 2025, selepas menamatkan saingan musim 2024 dengan bergaya.

Li Jane, yang melangkah ke musim baharu dengan koleksi gelaran mengagumkan termasuk memenangi gelaran juara Asia tahun lepas, mengakui beliau kini berada di puncak prestasi untuk menghadapi Kejohanan Boling Piala Dunia 2025 di Kowloon, Hong Kong, dari 5 hingga 14 Jan ini.

“Setakat ini persiapan berjalan dengan sangat baik dan saya bersedia untuk Piala Dunia. Saya memang rasa berada pada prestasi terbaik dan saya rasa sangat baik semasa sesi latihan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sesi latihan di sini.

Selain meletakkan sasaran dalam acara perseorangan wanita, pemain berusia 32 tahun itu juga berharap untuk mengulangi kejayaan pada edisi lepas, dengan menamatkan saingan di podium dalam kategori berpasukan wanita.

Naib juara perseorangan wanita 2014 dan 2018 itu membantu Malaysia menewaskan Amerika Syarikat 3-2 untuk meraih gangsa, pingat pertama negara dalam acara berpasukan wanita, yang pertama kali diperkenalkan di Australia, dua tahun lepas.

Li Jane menyifatkan kempen 2024 sebagai sesuatu yang luar biasa.

Antara pencapaian mengagumkan beliau termasuk kejayaan bersejarah menjadi pemain boling Asia pertama yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan dalam Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) Amerika Syarikat (AS).

Li Jane memperoleh anugerah itu selepas berjaya memenangi empat gelaran iaitu Terbuka Wanita AS, Kejohanan Jelajah, Terbuka Journal Rockford dan Greater Nashville Classic.

Ketika ditanya mengenai rahsia di sebalik pencapaian luar biasa itu beliau berkata ia hasil kemahiran dan keazaman yang tidak berbelah bahagi.

“Saya hanya bekerja keras dan apabila anda bersedia, semuanya akan dapat dicapai,” katanya.

Selain Li Jane, pasukan wanita akan disertai juara dunia Natasha Mohamed Roslan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Gillian Lim.

Bekas juara dunia 2018, Muhammad Rafiq Ismail pula akan mengetuai pasukan lelaki negara bersama Timmy Tan, Tun Hakim Tun Hasnul Azam dan Ahmad Muaz Mohd Fishol.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan