BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan Akan Perkasakan Tenaga Yang Boleh Diperbaharui - KSN

01/01/2025 03:31 PM

PASIR MAS, 1 Jan (Bernama) -- Kerajaan akan memperkasakan tenaga yang boleh diperbaharui sebagai langkah masa hadapan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata usaha itu juga selaras dengan sasaran kerajaan untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050.

Beliau berkata antara langkah ke hadapan, kerajaan ketika ini akan mementingkan renewable energy iaitu tenaga yang boleh diperbaharui.

“Kita akan lebih tumpukan kepada itu, sebab kita punya sasaran ialah sifar bersih tahun 2050. Oleh itu dalam persidangan ASEAN juga kita turut menekankan dan mementingkan mengenai kelestarian,” kata beliau kepada media pada Program Ihsan MADANI di Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang 2 di sini, hari ini.

Sementara itu, menerusi program berkenaan Shamsul Azri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada surau sekolah berkenaan, selepas mengalami kerosakan susulan bencana banjir baru-baru ini.

Pada program sama, beliau turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada 140 orang penerima yang terdiri daripada penduduk sekitar bandar Rantau Panjang dan juga Pasir Mas.

Sepanjang Monsun Timur Laut (bermula November sehingga Disember tahun lepas) seramai 38,446 Ketua Isi Rumah (KIR) telah ditempatkan di 315 pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka di Kelantan sepanjang tempoh itu.

Sehingga hari ini, seramai 683 KIR telah menerima BWI melibatkan peruntukan RM683,000.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan terus komited melunaskan bayaran BWI kepada semua KIR yang layak sebelum berakhir MTL 2024/2025, bagi meringankan beban mangsa banjir yang terlibat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan