BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pembangunan Kampung Baru Kekalkan Ciri-ciri Kemelayuan - Dr Zaliha

03/01/2025 12:09 AM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Sebarang pembangunan di Kampung Baru akan mengambil kira sejarah dan status tanah demi memastikan kawasan itu kekal sebagai kampung Melayu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata langkah berkenaan bagi memastikan kampung Melayu yang terkenal dengan ciri-ciri tradisional itu terus terpelihara namun dalam masa sama menjadi pemangkin kepada pembangunan ibu negara.

“Ciri-ciri kemelayuan itu akan kita kekalkan (dalam pembangunan). Kampung Baru ini penuh dengan sejarah, terkenal dengan tradisi (contohnya) makanannya. Akhirnya Kampung Baru akan menjadi katalis kepada pembangunan keseluruhan Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur.

“Jadi kita kena berhati-hati dalam pembangunan tersebut mengambil kira perkara-perkara ini,” katanya selepas majlis kesyukuran dan bacaan Yasin anjuran bersama Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dan Masjid Jamek Kampung Baru sempena meraikan sambutan 125 tahun kampung itu.

Sementara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menyatakan komitmen beliau untuk memastikan tanah Kampung Baru yang dianugerahkan Sultan Selangor Kelima Sultan Alauddin Sulaiman Shah terus kekal di tangan orang Melayu.

“Tahun ini Kampung Baru berusia 125 tahun. Sebagai wakil rakyat di dalam kawasan ini, kita nak memastikan tanah ini kekal di atas tangan orang Melayu Bumiputera. Mana-mana pembangunan yang hendak dilakukan kita galakkan, tetapi dengan syarat pemaju perlu mengambil kira sejarah kampung ini,” katanya.

Johari berkata beliau tidak mahu perkara yang berlaku terhadap Sungai Baru sebelum ini terjadi kepada Kampung Baru apabila pemaju melaksanakan projek di situ seperti pembangunan kawasan setinggan dan tidak mempertimbangkan aspek sejarah selain tidak mengambil kira pandangan penduduk. 

PKB dalam kenyataan pula berkata majlis kesyukuran dan bacaan Yasin itu dianjurkan bertujuan memohon keberkatan agar segala perancangan dan pembangunan tahun ini dapat dijalankan dengan teratur dengan memberi keutamaan kepada memelihara kepentingan orang Melayu di Kampung Baru secara inklusif.

“Di samping itu, majlis ini adalah sebagai tanda penghargaan dan mengenang semula jasa bakti penduduk dalam mengekalkan keunikan, identiti serta legasi yang telah dibina di Kampung Baru sepanjang 125 tahun penubuhannya,” menurut kenyataan itu.

Menurut PKB, majlis pada malam ini merupakan pengisian program pertama bagi sambutan 125 tahun Kampung Baru serta secara tidak langsung menggalakkan penyertaan komuniti dalam memperkukuh semangat kerjasama, mempererat hubungan sosial dan membangunkan jaringan sokongan dalam kalangan masyarakat.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan